KUALA LUMPUR – Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (Persim) menafikan sekeras-kerasnya Menteri Pengangkutan, Anthony Loke ada berjumpa dengan pihaknya sebelum mengumumkan penguatkuasaan peraturan perkhidmatan e-hailing.

Menurut Timbalan Pengerusi Persim, Kamarudin Mohd. Hussain, disebabkan itu banyak persatuan-persatuan teksi di negara ini ‘berang’ dengan kenyataan itu dan menyulitkan pihaknya untuk mewujudkan Gabungan Kesepakatan Pertubuhan Teksi Malaysia (GKPTM) di masa akan datang.

“Kami tidak pernah dijemput secara rasmi untuk sesi perbincangan dengan pihak kementerian sebaliknya saya telah dijemput oleh pihak syarikat teksi untuk mewakili mereka bagi sesi perbincangan dengan pihak kementerian.

“Namun tarikh sesi mesyuarat tersebut telah tersebar luas ke pengetahuan persatuan teksi dan telah menyebabkan persatuan-persatuan teksi yang telah lama menunggu jemputan kementerian untuk mengadakan perbincangan menerusi sesi mesyuarat berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar Kamarudin, memang ada pertemuan antara Persim dengan kementerian pada 9 Julai lalu namun ia bukannya pertemuan rasmi bagi membincangkan mengenai penguatkuasaan e-hailing.

Pada 27 Jun lalu, Anthony berharap pemandu teksi dapat bersabar sementara waktu tatkala kerajaan berusaha untuk mengawal industri ehailing.

Malah beliau memberi jaminan pengumuman dasar baharu kepada pemandu teksi akan dibuat pada awal Julai dan berjanji akan berlaku adil kepada semua pihak.

Mengulas lanjut, Kamarudin berkata, Kementerian Pengangkutan tidak seharusnya bergantung sepenuhnya atau memberi kepercayaan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat semata-mata.

Malah beliau mencadangkan agar kementerian menubuhkan satu badan khas bagi mengadakan pertemuan dengan semua persatuan teksi mendengar permasalahan dan cadangan dalam mencari jalan penyelesaian.

“Apa yang belaku hari ini, kementerian bukan sahaja enggan mengadakan perbincangan dengan kami, sebaliknya Kementerian mengunapakai sepenuhnya cadangan daripada SPAD yang selama ini telah terbukti gagal membawa sebarang pembaharuan kepada industri teksi negara,” katanya lagi.

Kamarudin juga turut membayangkan persatuan teksi di negara ini akan mengajurkan satu lagi perhimpunan aman di hadapan pejabat Tun Dr. Mahathir Mohamad bagi mendapatkan perhatian Perdana Menteri mengenai isu ini. -MalaysiaGazette