Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin (tengah) melakukan lawatan ke Projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M), Pangsapuri Pudina di Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK 20 JULAI 2018.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin (tengah) melakukan lawatan ke Projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M), Pangsapuri Pudina di Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK 20 JULAI 2018.

PUTRAJAYA – Pemaju Projek Perumahan Awam 1Malaysia (PPA1M), Pangsapuri Pudina diberi tempoh sebulan untuk menyelesaikan segala masalah yang diadu pembeli.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, pemaju terbabit diarah untuk menyegerakan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan daripada rentetan aduan penduduk.

“Setakat ini mengikut apa yang dilaporkan perbadanan dan pemaju pangsapuri berkenaan, 300 aduan dari pembeli yang sudah menerima kunci rumah diperolehi.

“Memang ada tuntutan pembeli di mana ada banyak aduan yang mana beberapa perkara tidak dipenuhi seperti yang dipersetujui dalam perjanjian jual beli serta syarat menduduki hartanah.

“Segala aduan itu telah diajukan kepada pemaju terbabit untuk tindakan segera berikutan kegusaran pembeli kebanyakannya penjawat awam dan perbadanan akan membuat penilaian kali kedua melibatkan 300 aduan itu.

“Semuanya akan diselesaikan dalam masa sebulan nanti insyAllah,” katanya kepada pemberita di sini.

Sementara itu, Zuraida berkata, tempoh 30 hari diberikan supaya kerja penyelenggaraan dapat disiapkan secara sempurna dan kemas agar masalah sama tidak berulang walaupun pemaju berjanji menyegerakan kerja penilaian semula dan pembaikan.

Pangsapuri Pudina PPA1M mempunyai 8 blok dengan 1,504 unit kediaman.

Ujar beliau, setakat ini hanya 220 keluarga telah mendiami pangsapuri itu dan selebihnya tidak bersedia berpindah ke situ disebabkan masalah berbangkit.

“Masalah lif tidak berfungsi, lampu, ketiadaan alat pemadam api, hos bomba yang belum diluluskan selain pintu rumah tidak dipasang dan sebagainya antara 300 jenis aduan yang sedang diteliti.

“Kita akan membuat pemantauan dan pemeriksaan semula apabila segala aduan berkenaan selesai nanti bagi memastikan segala kerja pembaikan diselesaikan 100 peratus,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast