SHAH ALAM – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menolak dakwaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) kononnya berlaku perbezaan pendapat antara beliau dengan Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam soal memilih calon untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis.
Timbalan Presiden PKR itu berkata, pemilihan Pengetua Maahad Tahfiz Al Fateh Jalan Kebun, Mohd Zawawi Ahmad Mughni sebagaimana diumumkan Dr Wan Azizah malam kelmarin adalah keputusan parti.
Katanya, UMNO dan BN sudah ketandusan idea dalam usaha terdesak parti itu untuk mendapatkan sokongan pengundi apabila cuba melaga-lagakan beliau dengan Presiden.
“UMNO dan BN kata saya kecewa dengan pemilihan calon, mana mereka tahu saya kecewa? Itu hanyalah taktik mereka untuk memecah belahkan PKR dan Pakatan Harapan (PH).
“Kita memilih Mohd Zawawi melalui kata putus yang dicapai dalam perbincangan bersama antara PKR dan PH. Apabila semua setuju, kita umumkan nama calon berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita pada hari penamaan calon di Dewan Besar Tanjung MBSA di sini, hari ini.
Dalam PRK Sungai Kandis pada 4 Ogos ini, tiga calon diumumkan layak bertanding oleh Pegawai Pengurus PRK, Datuk Shahrin Mohd Saad pada jam 10.20 pagi ini.
Mereka ialah calon PKR, Mohd Zawawi; calon BN, Datuk Lokman Noor Adam (BN) dan calon Bebas, K. Murthy.
Pada majlis pengumuman calon BN di pejabat UMNO Bahagian Kota Raja, semalam, Lokman yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO disebut sebagai mendakwa, Dr Wan Azizah meletakkan Mohd Zawawi tanpa mengambil kira pandangan Mohamed Azmin. – MalaysiaGazette