Pemilik, Datin Haslinda Sim Abdullah menunjukkan menu terbarunya Itik Panggang di Restoran Haslinda Sim Abdullah, Bandar Baru Bangi, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 20 JULAI 2018.

BANGI – Tempoh penyediaan melebihi jam lima jam antara proses yang  perlu ditempuh pemilik Restoran Haslinda Sim Abdullah bagi menyediakan hidangan tradisional popular masyarakat Tionghua, itik panggang.

Bermula daripada proses membersihkan itik, Datin Haslinda Sim Abdullah memberitahu beliau memerap itik selama empat jam dan memanggangnya pula selama sejam.

Bagi wanita mualaf itu, beliau perlu teliti bagi memastikan sajian berkenaan tidak berbau sebaliknya rasa enak selain menerbitkan aroma menyelerakan.

Jelas Haslinda, sajian berkenaan kini mendapat perhatian masyarakat Melayu selain Cina Muslim yang sudah lama mencari pilihan halal untuk menu terbabit.

MGF20072018_FOOD REVIEW ITIK02
Menu terbaru Itik Panggang yang boleh didapati di Restoran Haslinda Sim Abdullah, Bandar Baru Bangi, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 20 JULAI 2018.

Malah mereka yang bukan Islam juga gemar menikmati sajian terbabit di restorannya.

“Menu itik panggang ini diperkenalkan sebagai sajian terbaru dan tarikan kepada peminat hidangan masakan Cina selera tempatan.

“Sebenarnya hidangan itik ini terkenal dalam kalangan masyarakat Cina tempatan kerana rasa dagingnya yang lebih sedap daripada ayam dan kurang lemak.

“Resepi utama adalah warisan keluarga yang berbangsa Cina dengan memilih herba tonggui sebagai bahan utama,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

MGF20072018_FOOD REVIEW ITIK06
Temubual bersama pemilik, Datin Haslinda Sim Abdullah di Restoran Haslinda Sim Abdullah, Bandar Baru Bangi, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 20 JULAI 2018.

Menu itik panggang itu dimakan bersama nasi hainan yang keistimewaannya mengguna planta asli tanpa pewarna serta sambal dan sup.

Haslinda menambah, apa yang membang­gakannya pelanggan kini mula memperakui hidangan itik panggangnya menepati cita rasa malah lebih enak daripada restoran yang pernah mereka kunjungi.

Beliau bersyukur kerana pada peringkat awal pengenalan, pihaknya terpaksa mendidik pelanggan merasai menu itu gara-gara kononnya tidak makan itik atas alasan berbau.

“Malah kami pernah memberi jaminan untuk memulangkan wang jika ketika makan itik panggang ini, pelanggan akan merasa baunya.

“Namun alhamdulillah, antara komen balas kami terima, isi dalam lembut dan kulit garing bersama aroma menyelerakan daripada perapan khas.

“Malah ada pelanggan setia yang sanggup datang dari Seremban dan Nilai semata-mata ketagih itik panggang,” katanya tersenyum.

MGF20072018_FOOD REVIEW ITIK04
Pemilik, Datin Haslinda Sim Abdullah menunjukkan menu terbarunya Itik Panggang di Restoran Haslinda Sim Abdullah, Bandar Baru Bangi, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 20 JULAI 2018.

Haslinda juga berkata, lokasi premis yang terletak di Bangi turut memberi kelebihan pelanggan mengunjungi restorannya rata-rata masyarakat Melayu yang gemar menu baharu dan ada kelainan.

“Kami berasa gembira apabila golongan Melayu khususnya dapat menerima hidangan berkenaan. Malah ada pengunjung yang mengulang kembali ke restoran ini untuk menikmati sajian itik panggang.

“Mengenai herba khas itu, saya akan kekalkan keaslian dari segi rasa tetapi ada sikit penambahbaikan agar bersesuaian dengan deria rasa mahupun ‘tekak’ tempatan,” katanya.

Sementara itu, harga seekor itik panggang adalah RM80 untuk enam ke tujuh pelanggan makan manakala bagi harga set ala kad bermula RM10.90.

Sementara itu, tarikan lain Restoran Haslinda Sim Abdullah adalah ikan stim dan siakap masak ayam yang sering menjadi pilihan pelanggannya.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian 012-9206983.

Restoran ini memulakan perniagaan masakan Cina halal lebih 10 tahun lalu dengan nama asal Restoran Zenith. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. ada kawan beli itek gantung tepi jalan siap cincang bawa balik pejabat makan ramai². siap makan dia cakap beli itek panggang cina jual . ini kawan celaka cina itu pun sial jual itek tak sembelih pada orang melayu .

Comments are closed.