SHAH ALAM – Barisan Nasional (BN) akan melancarkan jenteranya malam ini untuk menjalankan kempen membantu calon parti, Datuk Lokman Noor Adam di DUN Sungai Kandis.
Jentera itu yang akan dilancarkan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan di pusat kawalan BN Sungai Kandis dekat sini, jam 8.30 malam melibatkan penyerahan bahagian angkat UMNO Selangor.
Selepas itu, calon akan diperkenalkan kepada semua jentera yang melibatkan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO serta BN.
Menurut sumber UMNO Selangor, bahagian angkat UMNO Selangor itu akan ditempatkan di setiap Pusat Dalam Mengundi (PDM) dalam DUN berkenaan untuk memulakan kempen dari rumah ke rumah bermula pagi esok.
Dijangka hadir malam ini, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa. – MalaysiaGazette