PETALING JAYA – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) diberi peringatan tidak menghalang dua jemaah Islam daripada meneruskan kerja-kerja dakwah dan pendidikan Islam di negara ini.
Pengetua Darul Tahfiz Umul Qura, Jalan Kebun Klang, Abd. Rasul Rahman menegaskan jika kedua-dua jemaah Islam itu iaitu tabligh dan pusat tahfiz dihalang, kerajaan hari iniĀ bakal mendapat kemurkaan Allah.
“Kalau kita halang maka tunggu azab Allah akan datang. Dua perkara ini jika dihalang akan menyebabkan malapetaka atau kemurkaan Allah.
“Jangan halang jemaah tabligh yang bergerak di seluruh Malaysia dan dunia di mana mereka menggunakan harta sendiri untuk menyelamatkan umat.
“Pusat tahfiz pun sama seperti tabligh di mana kami ikhlas menyelamatkan anak bangsa, agama dan juga seluruh manusia agar kita tidak dimurkai oleh Allah,” katanya pada sidang media bersama badan bukan kerajaan (NGO) Pergerakan Malaysiaku Tanahairku hari ini.
Pada awal bulan ini, bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainudin Maidin mencadangkan agar semua sekolah tahfiz perlu ditutup kerana didakwa tidak memberi masa depan kepada generasi baharu umat Islam.
Zainudin berharap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mujahid Yusof Rawa berani dan tegas membawa umat Islam kepada realiti dan keperluan terhadap sikap dinamik serta menolak keakraban sebagai keislaman.
Abd Rasul juga berkata, Kerajaan PH pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sebaliknya digesa membenarkan sekolah-sekolah tahfiz beroperasi seperti biasa tanpa gangguan.
“Saya merayu kepada pihak berkuasa dan atasan agar jangan kita halang pusat tahfiz ini, biarkan mereka berjalan.
“Kalau boleh beri bantuan kerana kebanyakan pusat tahfiz ini bergerak dalam keadaan sendiri seperti madrasah kami.
“Kami bergerak dengan sumbangan orang ramai dan bantuan daripada kerajaan, baru kami boleh menampung kos operasi pusat-pusat tahfiz,” katanya.
Katanya lagi, sebagai kerajaan baharu sewajarnya lebih prihatin kepada kesusahan pusat-pusat tahfiz beroperasi semata-mata menggunakan sumbangan orang ramai.
“Kami harap dengan kerajaan baharu ini dapat memberi sumbangan, perhatian dan prihatin kepada kami
“Kami ini seumpama payung melindungi semua rakyat dan bangsa daripada kemungkaran Allah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette