Membahaskan RUU Anti Berita Tidak Benar 2018 di Dewan Rakyat.

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, kerajaan akan memperkenalkan Akta Kebencian Agama dan Kaum bagi melindungi semua agama di negara ini.

Jelas beliau, melalui akta khusus itu, tindakan boleh diambil terhadap sesiapa sahaja yang mencaci atau memaki agama Islam dan agama-agama lain di negara.

“Akta ini bukan sahaja untuk orang Islam tetapi bagi menjamin agama dan kaum yang ada serta di negara ini. Ini untuk memastikan gejala memaki hamun dan mencaci menggunakan agama Islam atau yang lain-lain tidak berlaku pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said (BN) pada persidangan Dewan Rayat hari ini.

Ismail sebelum itu menyoal adakah kerajaan kerajaan bercadang menggubal undang-undang bagi melindungi agama Islam yang sering dicaci di laman sosial sejak kebelakangan ini.

Tambah Mujahid, akta itu bukan sahaja mendidik rakyat menghormati agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan tetapi juga agama lain.

Dalam isu menghina agama Islam, Mujahid berkata, pihaknya masih belum menerima apa-apa laporan daripada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Kami masih lagi menunggu laporan sebelum ambil apa-apa tindakan oleh pihak berkuasa,” ujarnya. – MalaysiaGazette