SHAH ALAM – Hari keempat kempen oleh kedua-dua calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis mula nampak meriah.
Berbaki sembilan hari lagi tempoh berkempen sehingga jam 11.59 malam 3 Ogos, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam dan calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni menghabiskan masa antara 18 hingga 20 jam sehari semalam bertemu pengundi.
Dalam tempoh tiga hari bermula 21 hingga 23 Julai lalu, Lokman yang juga presiden sebuah NGO, Pemantau Kerajaan Baharu (Pemantau) bergerak sendirian dalam program kempen di Taman Sri Andalas dan Kampung Bukit Naga.
Malam tadi, jentera pusat mula turun mengagihkan Bahagian Angkat UMNO di seluruh Pusat Daerah Mengundi (PDM) dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, bagi memastikan undi untuk calon BN meningkat.
Jentera pusat yang diketuai Timbalan Presiden UMNO Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hassan, dibantu Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Shamsul Anuar Nasarah dan Setiausaha Agung UMNO Malaysia, Tan Sri Annuar Musa mampu menarik nafas lega jentera tempatan, yang tiga hari tertungkus lumus menjalan kempen.
Menurut Mohamad, UMNO dan BN meletakkan calon bertanding PRK Sungai Kandis adalah dengan tema serta matlamat untuk menyatu padukan rakyat, yang dilihat berpecah berikutan perang saraf pemimpin Pakatan Harapan (PH).
“Menang atau kalah dalam PRK ini tidak akan memberi kudis kepada BN. Perpaduan dalaman parti adalah lebih penting untuk memenangkan parti.
“Di Sungai Kandis menang atau tidak, tak jadi kudis kepada BN. Di mana saja kita berada, yang penting kita mesti bersatu. Banyak kita kalah bukan sebab isu, pembangkang, orang luar tapi pergeseran dalaman,” katanya berucap merasmikan Majlis Pengenalan Calon BN PRK Sungai Kandis di Kampung Sungai Kandis, di sini, malam tadi.
Sementara itu, calon PKR, Mohd Zawawi pula melahirkan kebimbangannya sekiranya pengundi DUN Sungai Kandis tidak keluar mengundi kerana menganggap selesa dengan kemenangan penyandangnya, Allahyarham Mat Shuhaimie Shafie pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lalu.
Beliau menyatakan kerisauan itu pada satu program kempen di Jalan Kebun, dekat sini, dua malam lepas, setelah melihat sambutan penduduk dalam majlisnya tidak mendapat sambutan.
Kemungkinan pengundi PKR atau PH tidak keluar mengundi boleh mencapai kepada 30 peratus daripada 23,998 jumlah undi yang diperolehi penyandang sebelum ini dan perangkaan itu boleh meletakkan Mohd Zawawi seperti telur dihujung tanduk.
Pada PRU 14 yang lalu, Allahyarham Mat Shuhaimie memenangi kerusi DUN Sungai Kandis selepas memperoleh 23,998 undi menewaskan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon Pas, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76).
Keputusan keseluruhan PRU 14 bagi Selangor ialah PH meraih kemenangan 51 kerusi DUN, diikuti BN empat kerusi, dan Pas satu kerusi.
Jika Lokman menang, ia hanya sekadar menambah satu kerusi BN, iaitu daripada empat kepada lima kerusi. Ini jelas tidak dapat menyumbangkan apa-apa kemenangan pentadbiran kepada BN.
Sehingga malam tadi, antara pemimpin PH yang turun membantu calon PKR ialah Menteri Besar Selangor yang juga Pengarah Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Kandis, Amirudin Shari, diikuti pemimpin tempatan.
Manakala pemimpin PH peringkat pusat pula masih sibuk dengan persidangan Dewan Rakyat di Parlimen.
Bagi BN pula, Mohamad, Annuar dan Shamsul Anuar mula berkampung di Sungai Kandis, dalam usahanya untuk memberi kemenangan atau sekurang-kurangnya menambah jumlah undi yang diperolehi pada PRU 14 yang lalu.
Jentera parti melibatkan tiga sayap, iaitu Pergerakan Pemuda UMNO, Pergerakan Wanita UMNO dan Pergerakan Puteri UMNO mula diagih-agihkan di semua PDM.
Mereka akan memulakan kempen dari rumah ke rumah, hari ini, sehingga tengah malam 3 Ogos ini. – MalaysiaGazette