Lokman beramah mesra dengan seorang di sekitar Jalan Kebun.

SHAH ALAM – “Beri saya peluang, saya janji akan pastikan segala janji kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum lalu ditunaikan,” kata calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam.

Beliau yang melakukan program walkabout di sekitar Jalan Kebun dan sempat berada di hadapan Sekolah Rendah Agama Jalan Kebun pagi ini memberitahu, BN memerlukan suara yang lantang untuk menuntut janji-janji itu dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pada PRU-14 lalu, katanya, BN hanya memenangi empat kerusi DUN berbanding 12 kerusi sebelum ini dan kemenangan di Sungai Kandis perlu bagi menambahkan kekuatan suara pembangkang.

Dalam program itu, beliau berkata, ada dalam kalangan penduduk tempatan mengakui menyesal memberi undi kepada calon PH kerana mereka gagal menunaikan janji.

“PRK Sungai Kandis ini akan menjadi medan referendum rakyat sama ada mahu setuju atau menentang tindakan kerajaan PH dalam beberapa isu.

“Saya beritahu mereka, inilah masanya untuk rakyat dalam DUN Sungai Kandis mengubah fikiran mereka dengan memberi undi kepada BN sebagai pengajaran dan isyarat kepada PH agar apabila berjanji, janji mesti ditunaikan. Bukan berdolak dalik,” katanya.

Pada program walkabout itu, Lokman yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO turut beramah mesra dengan penduduk di Pasar Pak Lang dan beberapa restoran di Jalan Kebun.

Menurut Lokman, beliau akan sedaya upaya cuba memainkan peranan untuk membawa dan memperjuangkan isu-isu yang melibatkan kepentingan rakyat di DUN Selangor.

“Perjuangan saya adalah untuk memastikan segala janji kerajaan PH pada PRU 14 yang lalu ditunaikan.

“Saya akan mempertahankan rakyat dan menuntut segala janji -janji itu habis-habisan,” katanya yang juga Presiden Pemantau Malaysia Baharu (Pemantau).

Beliau bagaimanapun, membatalkan beberapa jadual programnya tengah hari ini kerana terpaksa bergegas ke Kajang untuk urusan penting.

Lokman sepatutnya akan menunaikan solat Zohor di Masjid Al-Falaq, Jalan Kebun, sebelum menyambung program walkabout di pasar malam Taman Sri Andalas, solat Maghrib di Surau Al-Muttaqin dan makan malam dengan penduduk di sebuah restoran di Kampung Jawa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast