Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kekal sebagai Timbalan Perdana Menteri jika suaminya Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menang jawatan Presiden pada pemilihan parti itu akan datang.
Dr Wan Azizah Wan Ismail

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menegaskan kedudukan beliau sebagai Presiden Pakatan Harapan (PH) akan terus kekal walaupun tidak bertanding dalam pemilihan partinya kelak.

Wan Azizah yang juga merupakan Timbalan Perdana Menteri berkata, kedudukannya dalam PH tidak akan sesekali terkesan jika tidak bertanding jawatan nombor satu PKR pada bulan depan.

“Tak apa, tidak ada apa-apa dengan kedudukan saya sebab kita merasakan bahawa dalam PH memang jawatan saya tetap akan diteruskan.

“Jawatan Ketua Umum PKR belum ada perbincangan lagi, jika ada perbincangan kita umum. Ada usul untuk bincang tetapi belum lagi.

“Saya tidak akan terkesan kerana akan terus jawat jawatan sebagai Presiden PH, tidak ada perubahan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kedudukan dalam PH sekiranya tidak bertanding bagi jawatan Presiden PKR dalam pemilihan parti itu.

Baru-baru ini,  Penasihat PKR yang juga merupakan suami kepada Wan Azizah, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan hasrat untuk bertanding jawatan Presiden PKR yang turut mengundang pelbagai spekulasi.

Selain daripada itu, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali masih juga terus berteka teki sama ada akan menentang Anwar atau kekal dengan jawatan yang sama.

Pemilihan PKR dijangka berlangsung pada hujung bulan depan dan nama calon perlu diserahkan antara Jumaat hingga Ahad ini. – MalaysiaGazette