Mohd Yusof Abdullah
Mohd Yusof Abdullah

SHAH ALAM – Bekas calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Mohd Yusof Abdullah menafikan dakwaan Zawawi Ahmad Mughni bahawa beliau menyokong calon PKR itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini. 

Mohd Yusof yang merupakan calon Pas pada Pilihan Raya Umum ke-14 menegaskan bahawa kenyataannya telah dimanipulasikan dan apa yang berlaku ialah beliau meraikan kehadiran Zawawi berkempen di rumahnya sebelum ini.

“Kenyataan saya telah dimanipulasikan.

“Saya meraikan kedatangan beliau walaupun dalam suasana kehangatan kempen pilihan raya. Saya tidak pasti samada berita yang disiarkan adalah kenyataan dari Ustaz Zawawi sendiri atau tafsiran media,” katanya menerusi posting Facebook. 

Tambah Mohd Yusof, beliau hanya menasihatkan Zawawi agar menjalankan tanggungjawab dengan baik apabila calon itu meminta sokongan daripadanya ketika itu. 

Menurut beliau, pendiriannya mengenai PRK Sungai Kandis adalah selaras dengan pendirian Pas.

“Saya hanya mengingatkan beliau jika ditakdirkan menang dalam pilihan raya kecil ini, beliau akan berusaha merealiasikan janji-janji yang dibuat dan memastikan penyelesaian dan pendekatan keagamaan diutamakan.

“Apabila calon berkenaan meminta sokongan dan bantuan saya untuk ahli-ahli serta pengundi Pas mengundi beliau, secara tegas saya telah nyatakan bahawa pendirian saya adalah selaras dengan pendirian Pas. Saya tiada kuasa dan hak mengubahnya,” ujarnya. 

Bagaimanapun Mohd Yusof memaklumkan tidak menerima arahan rasmi untuk mengundi calon Barisan Nasional (BN), calon PKR mahupun calon Bebas. 

Sebelum ini, Zawawi bukan sahaja mendakwa yakin ahli Pas akan menyokongnya bahkan berkata bekas calon Pas untuk DUN Sungai Kandis pada PRU14 menyatakan sokongan penuh dan akan mengundinya. – MalaysiaGazette