KUALA LUMPUR – Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei kini berada dalam keadaan tertekan ekoran masalah kesihatan yang dihadapinya sehingga menyebabkan beliau terpaksa menarik diri dalam dua kejohanan penting tahun ini.
Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Ng Chin Chai berharap semua pihak terus memberikan sokongan kepada Chong Wei yang telah banyak berjasa kepada negara sepanjang penglibatan pemain itu selama 17 tahun dalam arena badminton.
Beliau berkata Chong Wei, yang menghadapi masalah ‘Respiratory Disorder’ (masalah pernafasan), perlu menjalani pemeriksaan selama sebulan dan pihak BAM perlu menghormati permintaan pemain itu supaya tidak memaklumkan secara terperinci mengenai keadaannya ketika ini kepada umum.
“Saya dan Datuk Mohamad Norza Zakaria (Presiden BAM) telah bertemu dengan Chong Wei, pada ketika ini dia tengah sugul dan privasinya perlu dihormati. Bagi dirinya, apa yang penting adalah untuk cepat sembuh,” katanya kepada pemberita di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara di sini hari ini.
Beliau berkata BAM amat terkejut dan berasa serba salah dengan apa yang berlaku kepada bekas pemain nombor satu dunia itu.-BERNAMA