SHAH ALAM – Datuk Lokman Noor Adam yang kini bersendirian berkempen untuk mendapatkan undi dan sokongan pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis kini mampu menarik nafas lega.
Ini berikutan kenyataan terbaharu Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamed Abduh Nik Abdul Aziz yang meminta ahli dan penyokong parti itu memberi undi kepada Lokman selaku calon Barisan Nasional (BN).
Katanya, beliau pada mulanya tidak percaya apabila diberitahu oleh rakannya, tetapi selepas membaca kenyataan itu di media, beliau bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen Bachok itu atas semangat dan sokongan yang diberikan.
“Ini menunjukkan semangat solidariti Pas, UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang mengamalkan semangat persaudaraan sesama Islam.
“Saya akan bergerak lebih aktif lagi dalam program kempen ini yang masih berbaki lapan hari, termasuk menemui penduduk yang menyokong Pas,” katanya ketika ditemui media di luar pekarangan Sekolah Kebangsaan (SK) Johan Setia, dekat sini, hari ini.
Lokman bersama jentera yang memulakan siri kempennya seawal jam 7 pagi ini, berhenti seketika pada jam 10.30 untuk menghadiri mesyuarat di pejabat UMNO Bahagian Kota Raja, sebelum menyambung program walkabout rumah ke rumah jam 12.30 tengah hari.
Semalam, dalam satu kenyataan kepada media, Nik Mohamed Abduh dilaporkan berkata, Pas mendorong ahlinya mengundi calon UMNO pada PRK Sungai Kandis.
“Jika anda bertanya, tidakkah sudah jelas difahami bahawa Pas mendorong ahlinya mengundi UMNO? Saya jawab, Ya, di PRK Sungai Kandis. Itulah yang saya fahami,” katanya.
Beliau berkata demikian susulan terdapat dakwaan tindakan Pas tidak bertanding dalam PRK Sungai Kandis hanya berusaha untuk menghidupkan UMNO, selain didakwa hanya bersandiwara.
Menurut Lokman, beliau bersama jentera UMNO dan BN sudah tentu menyambut baik sokongan itu serta menambahkan semangatnya untuk berdepan dengan calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.
Beliau yang juga Ahli Majlis Tetinggi (MT) UMNO, turut menaruh harapan kerjasama antara UMNO dan Pas bakal menjadi kenyataan untuk mereka berdepan dengan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum yang akan datang. – MalaysiaGazette