SHAH ALAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengumumkan status Program Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) sama ada diteruskan atau sebaliknya, dalam tempoh terdekat.
Menterinya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, berkata, pihaknya akan meneliti perkara itu sebelum membuat sebarang keputusan.
“Saya sudah terima maklumat dan taklimat mengenai KR1M dari pegawai kementerian dan pengusaha kedai rakyat ini.
“Apa yang saya boleh beri tahu hanya ada tiga keputusan itu iaitu sama ada menamatkannya, meneruskannya atau meneruskan dengan melakukan beberapa pengubahsuaian,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan proram Citarasa Malaysia di Tesco Seksyen 13, di sini, hari ini.
Beliau berkata pihaknya akan mengetengahkan beberapa idea sekiranya kedai itu diteruskan dengan pengubahsuaian.
Katanya, ini termasuklah dalam aspek penjenamaan semula bagi menambah baik perjalanan operasi kedai rakyat tersebut.
“Sebelum ini telah wujud 185 premis perniagaan KR1M (seluruh negara) malangnya model itu tidak bertahan lalu kerajaan terdahulu menamatkannya.
“Kemudian lahir pula KRIM2.0 sehingga sekarang yang mana mempunyai 52 premis yang sedang diusahakan…namun apa juga keputusan yang saya buat ia sangat mengambil kira tujuan asal kedai itu iaitu harga barangan mestilah rendah dan munasabah, ” katanya.
Pada Feb lepas, KR1M distruktur semula sebagai KR1M 2.0 yang mana model itu disifatkan lebih terbuka, berdaya saing selain memberi peluang lebih ramai peniaga runcit menyertai kedai rakyat berkenaan. – Bernama