KUALA LUMPUR – Sebanyak 11 perkara termasuk isu LGBT dibincangkan oleh Pertubuhan Multaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (Murshid) ketika mengadakan pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (agama), Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa semalam.
Menerusi pertemuan itu presidennya, Dr Zaharuddin Abdul Rahman bersama beberapa rakan asatizah dari Institut Ibn Qayyim turut membincangkan isu-isu yang menjadi tular sejak kebelakangan ini.
Selain LGBT, perkara lain yang dibincangkan adalah mengenai maqasid syariah, perkahwinan kanak-kanak, Dr Zakir naik dan pendekatan ucapannya jika di Malaysia, pertemuan Ramasamy dan Dr Maza, reformasi institusi agama dengan pendekatan baru dan segar, majlis atau sekretariat pemikir Islam negara serta kerisauan sebahagian umat Islam terhadap polisi kerajaan terhadap Islam dan Muslim.
Turut dibangkitkan ialah program-program realiti di televisyen khususnya berkonsepkan agama yang semakin popular tetapi perlu diubah.
Pertemuan tersebut dikongsikan Murshid di laman Facebooknya.
Zaharuddin turut memuji sikap menteri yang sangat terbuka dan responsif kerana memberi ruang pihak-pihak luar politik kepartian memberi pandangan dan idea kontruktif.
“Alhamdulillah YB Menteri sangat terbuka, responsif dan sudi memberi masa hampir sejam untuk mendengar pandangan-pandangan kami walau dengan jadualnya yang sangat padat.
“Suatu sikap YB menteri yang sangat baik bagi terus mendokong hasrat rakyat, memberi ruang pihak-pihak luar politik kepartian memberi pandangan dan idea konstruktif.. Tahniah.
“Doakan yang baik-baik, itu amat diperlukan berbanding sindiran yang tiada sebarang manfaat kecuali merosakkan diri,” ujar Zaharuddin. – MalaysiaGazette