KUALA LUMPUR – Tindakan Kerajaan Pakatan Harapan yang bersungguh-sungguh mahu mengiktirafkan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) walaupun ia bertentangan dengan Perlembagaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan menimbulkan kemusykilan.
Seorang peguam, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, jika ada janji-janji manifesto yang belum dapat laksanakan atas pelbagai sebab, mengapakah UEC terus diperjuangkan sedang ia secara terang-terangan bertentangan.
Beliau turut mempersoalkan di bawah undang-undang manakah kuasa untuk meluluskan UEC boleh dilakukan sewenang-wenangnya.
“Mereka perlu memahami Perlembagaan dan kena tahu bahawa pendidikan negara telah diikat dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan.
“Semuanya diwartakan dan perlulah dipatuhi kerana negara kita ada undang-undang,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Lagipun, katanya, sekolah persendirian Cina adalah sekolah yang tidak mendapat campur tangan kerajaan.
Ia tidak mengikuti kurikulum sedia ada, sistemnya berbeza, pendedahan pembelajarannya juga berlainan.
Bukan itu sahaja, malah, sistem pengurusan sekolah-sekolah persendirian Cina ini turut tidak diganggu oleh kerajaan.
“Tetapi mengapa bila UEC ini kerajaan beriya-iya sangat.
“Jangan kita tengok dari urusan lain-lain, kalau mengambil kira etika pengurusan pun sudah salah,” tambah Abdul Aziz.
Beliau mengakui berasa hairan mengapa Kerajaan Pakatan Harapan mahu mengiktiraf UEC memandangkan sudah jelas penubuhan sekolah-sekolah itu pun kerana wujud perbezaan fahaman antara sekolah berkenaan dan kerajaan. – MalaysiaGazette