Yeah
Dr Yeah Kim Leng

KUALA LUMPUR- Rakyat akan mula merasai transformasi kerajaan baharu di bawah kepimpinan Pakatan Harapan dalam tempoh satu atau dua tahun lagi.

Pakar Ekonomi, Dr Yeah Kim Leng berkata, masih terlalu awal untuk rakyat memberi kad laporan kepada kerajaan namun beberapa inisiatif yang telah dilaksanakan dilihat bakal menampakkan hasil tidak lama lagi.

“Apa yang perlu dilakukan kerajaan adalah mengekalkan keyakinan kepada pelabur dan rakyat dan inilah yang sedang kita lihat ketika ini.

“Trajektori pertumbuhan ketika ini juga masih kekal dan kita lihat pelaburan sektor swasta semakin mengukuh dan apabila pelaburan tersebut mula bergerak dan dasar-dasar kerajaan pula telah jelas, ini pastinya akan menarik lebih banyak pelabur berkualiti tinggi dari dalam dan luar negara,” katanya kepada pemberita ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Kim Leng, rakyat biasa pula akan merasai hasil daripada pelaksanaan dasar-dasar dan pelaburan tersebut selepas itu.

“Saya rasa persekitaran ekonomi sangat positif walaupun pertumbuhan global perlahan disebabkan pelbagai isu seperti perang perdagangan tetapi Malaysia masih kekal berkembang.

“Sekurang-kurangnya kadar inflasi negara masih rendah walaupun (inflasi rendah) ada pro dan kontranya.

“Cabaran utama adalah bagaimana mahu menaikkan upah dan nilai barangan dan perkhidmatan supaya kita boleh meningkatkan rangkaian nilai tetapi walau apa pun, kerajaan mesti berjaya melakukan reformasi berstruktur ekonomi dan rakyat pula hanya akan menikmati limpahan manfaat dari segi lebih banyak peluang pekerjaan dan peningkatan upah dalam tempoh satu atau dua tahun selepas itu,” katanya lagi.

Menyentuh mengenai prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini, Kim Leng menjangkakan ekonomi Malaysia bakal berkembang melebihi lima peratus.

Katanya, meskipun faktor luaran agak mencabar ketika ini, perbelanjaan swasta dan pengguna terutama ketika penetapan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada kadar kosong peratus memberi manfaat kepada pertumbuhan negara.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast