Ahli keluarga kepada penumpang pesawat MH370 yang hilang secara misteri pada 2014 masih menaruh harapan dan percaya orang kesayangan mereka masih hidup.
Foto hiasan

BEIJING – Ahli keluarga kepada penumpang pesawat MH370 yang hilang secara misteri pada 2014 masih menaruh harapan dan percaya orang kesayangan mereka masih hidup.

Bagi Zhang Yenmin, 63, yang kehilangan tiga ahli keluarga termasuk seorang anak perempuan, sudah menjadi rutinnya untuk mendial nombor telefon anaknya setiap minggu.

Walaupun panggilannya tidak pernah berjaya, tetapi Yenmin tidak mahu berputus asa.

“Saya tidak akan berputus harapan tidak kira apa jua laporan yang dikeluarkan.

” Selagi mereka tak balik, maka perkara ini tidak selesai,” katanya dipetik Apple Daily dari Hong Kong.

Bagi Guan Zhongping, 75, pula, dia percaya kehilangan pesawat MH370 merupakan satu konspirasi politik.

Kata Zhongping, terlalu banyak misteri menyelubungi MH370 dan kepercayaannya tentang teori konspirasi diperkukuhkan lagi dengan dua panggilan daripada anaknya yang hilang, yang dipercayai dibuat secara curi-curi oleh anak perempuannya.

“Kalau sudah mati, saya mahu tengok mayatnya. Di mana bangkai pesawat? Di mana bukti pesawat terhempas?” tanya wanita itu.

Menurutnya, apa yang paling diharapkan sekarang ialah dapat memeluk anak perempuannya.

Dalam pada itu, Ye Lun mendesak pihak Malaysia mendedahkan semua kebenaran di sebalik kehilangan MH370.

Seorang lagi ahli keluarga penumpang MH370, Li Xuezheng bagaimanapun berkata, dia tidak menaruh apa-apa harapan terhadap laporan penyiasatan MH370.

Pasukan Penyiasatan Keselamatan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa Malaysia setakat ini tidak dapat mengenal pasti punca sebenar kehilangan pesawat MH370.

Ketua Penyiasatnya, Datuk Kok Soo Chon berkata, tanpa pemeriksaan terhadap bangkai pesawat serta maklumat rakaman data penerbangan, penyiasatan tidak dapat mengenal pasti sebarang kegagalan sistem atau pesawat yang munasabah yang boleh membawa kepada penyahaktifan sistem, lencongan dari laluan asal penerbangan serta laluan seterusnya yang diambil oleh pesawat terbabit.

Kemungkinan campur tangan oleh pihak ketiga juga tidak boleh ditolak.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast