Bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak bercakap kepada media pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 26 JULAI 2018.
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak meminta para pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis menyokong calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Nor Adam.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, kemenangan Lokman akan memberi peluang kepada BN untuk menjadi pembangkang yang lebih kuat.

Malah, katanya, Pilihan Raya Kecil (PRK) itu merupakan peluang untuk rakyat membantah dan menghantar amaran kepada pemerintah bahawa rakyat tidak suka fitnah, rakyat tak mahu ditipu dan segala janji-janji dibuat patut ditepati.

“Hari ini 4 Ogos 2018, ialah hari mengundi untuk PRK Sungai Kandis.

“Hari ini juga penanda bahawa hanya tinggal 14 hari sehingga tempoh 100 hari selepas PRU14, di mana PH telah berjanji secara bertulis di dalam manifesto untuk memenuhi 10 janji. Tetapi berapa dari 10 janji ini telah ditepati?

“Harga petrol masih tidak diturunkan, tol masih tetap dibayar rakyat, hutang FELDA tidak dihapuskan, RCI untuk 1MDB juga tidak diadakan dan ramai lagi janji dan tuduhan dikelihatan sebagai penipuan dan fitnah sahaja,” katanya melalui Facebook.

Najib menambah, lebih parah untuk rakyat apabila harga barang tidak turun selepas Cukai Barangan dan Perkhidmatan disifarkan dan bakal akan naik bulan depan apabila Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) diperkenalkan.

Rakyat, ujar beliau, bakal berdepan dengan satu lagi pusingan inflasi apabila SST diperkenalkan. – MalaysiaGazette