Dua pelancong dilihat turut mengambil peluang merasai berbuka puasa beramai-ramai ketika tinjauan Lensa Malaysia Gazette di perkarangan Banggunan Sultan Abdul Samad, Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 03 JUN 2017
Dua pelancong dilihat turut mengambil peluang merasai berbuka puasa beramai-ramai ketika tinjauan Lensa Malaysia Gazette di perkarangan Banggunan Sultan Abdul Samad, Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 03 JUN 2017

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak merancang untuk mengkaji atau membatalkan cukai pelancongan setakat ini memandangkan belum ada sebarang keperluan untuk berbuat demikian.

Sebaliknya, menurut Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik, cukai tersebut yang pada awalnya mahu dikenakan ke atas rakyat Malaysia yang menginap di hotel tidak dilaksanakan.

Jelas Ahli Parlimen Balik Pulau itu, pihaknya hanya mengenakan cukai tersebut kepada pelancong asing selepas mendapat nasihat dan pandangan daripada semua pemain industri berhubung perkara tersebut.

“Kita tidak ada niat ketika ini untuk mengkaji atau membatalkan sebarang cukai pelancongan yang ketika ini dikenakan kepada pelancong asing.

“Kita tidak tukar apa-apa pendirian, kita hanya katakan cukai ini perlu dikenakan kepada semua rakyat Malaysia yang menginap di hotel sebaliknya hanya mengenakan cukai kepada pelancong asing.

“Tidak ada sebarang rungutan dalam kalangan pelancong asing. Kita telah mengadakan perbincangan dengan pemain industri sebelum membuat keputusan untuk tidak kenakan cukai kepada rakyat Malaysia. Kita tiada niat untuk mengkaji atau membatalkan cukai tersebut setakat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas soalan lisan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berhubung pendirian kerajaan seandainya mempunyai perancangan untuk mengkaji semula cukai pelancongan yang diperuntukan dalam Akta Cukai Pelancongan 2017.

Sementara itu, Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee ‘menempelek’ kerajaan yang pernah menjadi pembangkang pernah mengkritik cadangan tersebut tetapi kini membuat keputusan sama seperti kerajaan terdahulu.

Sebelum ini, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi memberitahu kerajaan akan mengkaji semula keperluan pelaksanaan cukai pelancongan dalam memastikan ia tidak menjejaskan kedatangan pelancong ke negara ini.

Beliau berkata demikian sejurus selepas mengambil alih jawatan  Menteri baru pada sidang media pertama pada Julai lepas.

Katanya, cukai sebanyak RM10 bagi setiap bilik untuk satu malam itu perlu dikaji bagi mengetahui pendapat dan pandangan semua pihak terlibat, terutamanya pelancong sama ada kadar itu terlalu tinggi atau munasabah.

Pelaksanaan cukai itu mendapat kritikan pelbagai pihak, terutamanya pemain industri pelancongan dan baru-baru ini Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dilaporkan menyarankan kerajaan memansuhkan cukai itu yang dilihat menghalang kemajuan industri pelancongan.– Malaysia Gazette