Ahli Parlimen Jelutong, R. Sanisvara Nethaji Rayer

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Jelutong, R. Sanisvara Nethaji Rayer (PH-DAP) mendesak Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa agar memohon maaf berhubung kenyataan yang mendakwa DAP memecahbelahkan orang Melayu.

Menurut Rayer, kenyataan Ahli Parlimen Ketereh itu bersifat fitnah dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap beliau.

“Tan Sri Annuar Musa (BN) yang telah menyatakan bahawa parti DAP telah memecahbelahkan orang Melayu, itu kenyataan beliau.

“Saya mintak beliau supaya menarik balik kenyataan tersebut dan mohon maaf, kalau tidak berhadapan dengan tindakan undang-undang samada sivil mahupun laporan polis dibuat,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen.

Rayer merujuk kepada kenyataan Annuar dalam satu video berjudul ‘Realiti kerajaan pro DAP’ ketika berkempen di PRK Sungai Kandis baru-baru ini.

Dalam video berdurasi 1 minit 59 saat itu, Annuar mendakwa DAP memecahbelahkan orang Melayu bagi mendapatkan kuasa memerintah negara.

“Apa yang diramal oleh Tunku Abdul Rahman benar-benar terjadi hari ini, di mana DAP mendapat kedudukan dan kuasa memerintah dengan cara memecahbelahkan kekuatan orang Melayu dan Islam.

“Satu realiti dalam negara apabila yang nak jadi Peguam Negara adalah orang yang mengiktiraf Chin Peng sebagai negarawan.

“Yang menjadi Menteri Pertahanan yang mengiktiraf ‘Bendick’ yang membunuh polisi sebagai hero,” ujar Annuar dalam video berkenaan.

Justeru itu, Rayer yang mewakili DAP berkata, parti itu memberikan masa 24 jam kepada Annuar untuk memohon maaf.

“Kalau beliau benar ikhlas, saya rasa beliau perlu minta maaf dan tarik balik kenyataan itu dan tidak mengulangi perkara itu. Kalau tidak saya beri beliau 24 jam kalau tidak terpaksa berdepan dengan tindakan yang mungkin diambil oleh DAP,” katanya. -MalaysiaGazette