Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 07 OGOS 2018
Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 07 OGOS 2018

KUALA LUMPUR – Pembangkang terkejut dengan penafian Singapura terhadap kenyataan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menyatakan bertemu wakil republik itu atas urusan Rel Berkelajuan Tinggi (HSR).

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kenyataan rasmi negara jiran itu memalukan kerajaan Malaysia kerana disifatkan sebagai ‘pembohong besar’ dan mereka–reka cerita bagi menyedapkan hati rakyat.

“Jika benar kenyataan itu, kami tidak faham maksud sebenar perkara itu dibohongi, sama ada untuk membuktikan kepada rakyat bahawa HSR masih ada dalam jadual pembangunan atau sekadar menunjukkan betapa Kerajaan PH (Pakatan Harapan) benar-benar membuat kerjanya” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut mempersoalkan mengapa rakyat tidak dimaklumkan mengenai kedudukan sebenar rundingan dengan republik itu.

“Perlukah mereka dibohongi bagi menutup kelemahan kita? Selepas kerajaan mencipta penipuan paling besar mengenai kedudukan hutang negara, kini kita disuakan pula dengan pelbagai tipu muslihat oleh kerajaan.

“Belum pun tiga bulan memerintah, kerajaan sudah banyak melakukan ‘silap mata’ terhadap dasar dan janji manifestonya untuk PRU ke-14,” katanya.

Beliau turut membidas tindakan kerajaan baharu PH yang membuat pusingan ‘u’ terhadap janji untuk menghapuskan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan menutup Biro Tata Negara (BTN) yang selama ini dianggap digunakan oleh Barisan Nasional bagi kepentingan politik. – MalaysiaGazette