Hanipa Maidin
Hanipa Maidin

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang meneliti beberapa cadangan penambahbaikan terhadap proses Pilihan Raya Umum (PRU) pada masa akan datang.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin berkata, Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC) telah mengemukakan cadangan penambahbaikan itu selepas meneliti pandangan daripada pelbagai pihak.

Katanya, menerusi cadangan tersebut pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan pilihan raya perlu dilaksanakan jika ada pembaharuan.

“Pengemaskinian dan penelitian kepada proses sedia ada memerlukan tempoh masa yang bersesuaian,” kata Hanipa (PH-Sepang) pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang ingin tahu mengenai langkah-langkah serta strategi jangka pendek dan panjang kerajaan serta SPR untuk menguatkan dan memulihkan integriti sistem proses pilihan raya di negara ini.

Menjawab soalan tambahan Poay Tiong yang mahu kerajaan mengarahkan SPR menyelesaikan isu daftar pemilih yang sering mencetuskan kontroversi dalam pilihan raya, Mohamed Hanipa menegaskan, kerajaan tidak akan mengganggu tugas SPR sebagai badan bebas dan berkecuali.

“Ini kerajaan baharu, kita tidak akan ganggu tugas SPR. Kita akan memberikan autonomi kepada SPR untuk berperanan sebagai satu badan bebas yang dapat menjalankan tugas tanpa rasa takut atau pilih kasih.

“Kerajaan tidak boleh mengarahkan SPR cumanya kita boleh bagi cadangan-cadangan agar perkara yang dibangkitkan rakyat dapat diambil kira oleh SPR untuk memastikan satu PRU yang bersih dan adil dapat dilaksanakan pada masa akan datang,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast