Mohd Irwan Serigar Abdullah

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Siregar Abdullah berkata tuduhan Menteri Kewangan Lim Guan Eng, bahawa dana kutipan hasil (Cukai Barang dan Perkhidmatan) GST sebanyak RM18 bilion hilang dari akaun amanah, adalah tuduhan yang tidak adil.

Katanya, wang kutipan GST yang dikumpulkan dalam Tabung Amanah Bayaran Balik (GST) perlu dimasukkan dahulu ke dalam Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Persekutuan sebelum diagihkan.

“Perkataan ‘dicuri’ itu terlalu tidak adil. Duit itu dicuri oleh siapa? Sekarang dia kata hilang pula. Dia asyik tukar kata-kata sahaja,” katanya memetika laporan Utusan Malaysia hari ini.

Semalam, Guan Eng berkata, tuntutan cukai ‘input’ yang dibuat oleh pengilang, pengeluar, pembuat atau peniaga dikembalikan dalam tempoh 14 hari selepas tuntutan dibuat tidak pernah dibayar sejak tiga tahun lepas.

Jumlah tunggakan bagi pembayaran cukai input GST sejak tahun 2015 sehingga tahun 2018, jumlahnya sudah mencecah sehingga RM19,397 juta.

Mnejawab mengenai itu, Irwan berkata daripada segi prosedur, keperluan dana untuk dimasukkan tabung bayaran balik GST hanya dibuat selepas Mesyuarat Pengurusan Aliran Tunai Kerajaan Persekutuan yang diadakan setiap bulan.

“Tiada berlaku kehilangan wang, Perbendaharaan memperuntukkan kepada Tabung Amanah Bayaran Balik GST mengikut keperluan Kastam Diraja Malaysia dan juga berdasarkan kedudukan kewangan kerajaan.

“Saya percaya maklumat ini boleh didapati daripada Jabatan Akauntan Negara dan juga Badan Fiskal Kementerian Kewangan. Setiap mesyuarat akan ada minit mesyuarat. Saya tidak tahu dimana kehilangan wang ini,”.

Tambah Irwan, satu mesyuarat akan membuat keputusan untuk jumlah bayaran balik yang dimasukkan dalam tabung amanah berkenaan.

Jelas beliau, perkara itu adalah berdasarkan keperluan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, hasil audit terhadap tuntutan bayaran balik dan kedudukan hasil kerajaan.

“Setiap sen dikira, ia adalah duit rakyat, lebih penting ia berada dalam Kumpulan Wang Disatukan, kemudian bila diperlukan, ia akan dikeluarkan,” katanya lagi. -MalaysiaGazette