Kebanyakan tuntutan bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dikemukakan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia telah melepasi proses semakan dan mula dibayar balik secara berperingkat sehingga akhir tahun, kata Ketua Pengarahnya Datuk Seri T.Subromaniam. 
Kerajaan akan menambah baik dari aspek kecekapan proses bayaran balik jika Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan semula,

KUALA LUMPUR- Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) menggesa kerajaan memulangkan semula lebihan input Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kepada ahli-ahlinya secepat mungkin.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, FMM berkata, berdasarkan sebuah kajian yang dijalankan pada Julai, lebih daripada 100 ahli FMM hanya menerima sekitar RM220 juta pulangan input cukai sahaja.

“Penangguhan pembayaran balik telah menyebabkan masalah aliran tunai yang serius kepada ahli-ahli kami terutamanya perusahaan kecil dan sederhana serta pengeksport.

“Kami ingin menggesa kerajaan untuk memastikan kes-kes tertangguh berkenaan pembayaran balik cukai jualan khas sebelum era GST dikaji semula dan diselesaikan sebelum Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST 2.0) dilaksanakan semula,” katanya.

Pada masa yang sama, FMM meminta jaminan kerajaan tiada masalah kredit GST pada pembayaran SST pada masa akan datang.

“Kami menggesa Kementerian Kewangan mengadakan dialog dengan pemegang taruh yang terkesan dengan masalah tertunggak berkaitan pembayaran balik GST bagi mendapatkan penyelesaian yang kukuh dan praktikal bagi isu ini,” tegasnya.

Bagi membantu syarikat-syarikat yang akan bertukar dari rejim GST kepada SST, FMM mencadangkan supaya tiada penalti dikenakan kepada kesalahan yang dilakukan semasa awal pelaksanaan SST.- MalaysiaGazette