SERDANG – Tun Dr Mahathir Mohamad secara sinis berkata, beliau lebih berkuasa dari Donald Trump kerana mampu mengawal Amerika Syarikat hingga berjaya membawa pulang kapal mewah Equanimity.
“Saya bangga kerana dapat bercakap bagi pihak Amerika Syarikat (AS) hingga dapat membawa pulang kapal mewah Equanimity.
“Saya lebih hebat dari Trump,” kata Dr Mahathir.
Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke galeri Legasi Tun Mahathir di Maeps di sini hari ini.
Malah, Perdana Menteri itu dengan nada selamba meminta Jho Low bertanya kepada Amerika Syarikat sama ada beliau bercakap bagi pihak negara tersebut atau telah memaksa kuasa besar itu.
Dr. Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Low Taek Jho atau Jho Low yang mendakwa tindakan Malaysia merampas Equanimity sebagai tidak sah dan memalukan Amerika Syarikat kerana bercakap bagi pihak negara itu.
Kapal mewah yang dikaitkan dengan Jho Low itu kini ditempatkan di Pelabuhan Klang.
Jho Low mendakwa penyerahan kapal itu kepada pihak berkuasa Malaysia bakal mendedahkan akibat undang-undang ke atas bakal pembelinya.
Ahli perniagaan itu juga tetap mempertahankan bahawa penahanan kapal tersebut tidak sah.
Dr Mahathir menegaskan, langkah yang dilakukan oleh kerajaan pada ketika ini adalah hanya untuk mendapatkan kembali wang rakyat yang telah dicuri oleh individu tertentu sebelum ini.
Katanya, kerajaan tahu siapa yang bertanggungjawab terhadap perkara itu namun tidak mengetahui di mana mereka berada.
Ujarnya, langkah untuk mendapatkan semula wang yang hilang bergantung kepada kerajaan untuk membuktikan wang tersebut adalah milik rakyat Malaysia. – MalaysiaGazette