Tengku Zulpuri Shah Raja Puji
Tengku Zulpuri Shah Raja Puji

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sedia bertemu dengan kumpulan hijau atau penduduk Bukit Koman di Raub, Pahang bagi menyelesaikan masalah kesan bahan kimia sianida (cyanide) yang digunakan dalam perlombongan.

Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata, kerajaan sedia mendengar rasa tidak puashati rakyat Bukit Koman yang mendakwa bahan kimia itu telah mendatangkan penyakit kulit dan mata.

“Kami menjemput kumpulan cyanide esok atau lusa datang berjumpa dengan menteri dan pejabat Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) hadir perbincangan atau ketidakpuasan hati.

“Penduduk Bukit Koman menyatakan ada penyakit kulit dan mata merah disebabkan oleh tindak balas cyanide yang digunakan di situ,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Raub itu juga mengesahkan syarikat yang melakukan perlombongan emas di Bukit Koman sejak tahun 2002 itu beroperasi berdekatan dengan kediaman penduduk.

“Itu hak mereka sebab jarak rumah mereka dengan lombong begitu dekat kira-kira 12 kaki, satu jalan dari pagar ke rumah.

“Penduduk di Bukit Koman menyatakan itu adalah tindak balas penggunaan cyanide yang menyebabkan penyakit kulit dan sakit mata,” katanya.

Beliau berkata lagi, kerajaan hari ini sangat terbuka kepada permasalahan rakyat, lebih-lebih lagi yang melibatkan tahap kesihatan.

“Jika perlu kita akan adakan sekali lagi pengujian di Bukit Koman sendiri, kita akan jemput mereka sebab saya yakin kerajaan kita Kerajaan PH lebih terbuka kepada rakyat.

“Saya dengan terbuka hati kita akan menjemput mereka untuk datang ke sini hadir ke sesi perbincangan untuk apa yang mereka tak puas hati,” katanya.

Ditanya tentang kaedah menghilangkan kesan cyanide, beliau berkata, pihaknya perlu berbincang semula dengan JMG untuk mendapatkan data yang tepat sebelum menyatakan penyelesaian masalah berkenaan.

“Syarikat terlibat ada lesen tiga tahun lagi, kita akan melihat balik. Apa yang saya difahamkan peralatan di situ pun sudah ditinggalkan dan kelengkapan itu di bawah aset bank.

“Saya yakin mereka tak mula operasi lagi kecuali dijual di tempat lain saya tak tahu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast