KUALA LUMPUR – Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Biro Tata Negara (BTN) dimansuhkan serta-merta dan digantikan dengan program baharu yang dapat membentuk belia masa hadapan berwawasan dan tinggi nilai jati diri.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, program baharu ini akan diuruskan oleh kementeriannya dengan menstruktur semula fungsi, perjawatan, peruntukan kewangan dan aset Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) dan BTN.
“Pengisian program ini dirangka secara holistik dengan menggabungkan aktiviti dalam dan luar berimpak tinggi.
“Ia untuk menyerlahkan potensi anak muda sebagai rakan strategik dalam membangunkan negara berpandukan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.
“Elemen yang diterapkan termasuk team building, pembinaan karakter dan integrasi nasional, kenegaraan, jati diri dan sosialisasi politik,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen, di sini, hari ini.
Sebelum ini Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mahu mengkaji semula termasuk mahu menjenamakan semula PLKN dan BTN agar tidak akan lagi menjadi ejen yang boleh digunakan pihak tertentu untuk ‘menonjolkan motif mereka tersendiri’.
Dalam janji ke-28 manifesto PH untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), komitmen mereka untuk memansuhkan BTN yang sebelum ini menjadi agen politik murahan UMNO.
Syed Saddiq berkata, program baharu itu akan membuat penambahbaikan untuk golongan anak muda dengan mengangkat suara anak muda dalam landskap Malaysia Baharu.
“Ia akan direalisasi dengan cadangan pindaan umur mengundi (dari 21 ke 18 tahun) pada PRU ke-15 nanti.
“Sesi engagement ini mencerminkan aspirasi kerajaan Pakatan Harapan untuk memastikan program ini lebih inklusif, telus dan bebas daripada doktrin politik dan perkauman,” katanya lagi. – MalaysiaGazette