Tan Sri Muhyiddin Yassin
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memulakan tugasnya sebagai Ahli Dewan Rakyat selepas mengangkat sumpah hari ini berkata beliau ‘rindu’ untuk bermesyuarat dengan jemaah menteri.

Muhyiddin berkata, walaupun keadaan kesihatannya belum pulih sepenuhnya, namun beliau tetap komited untuk menghadiri mesyuarat Kabinet yang akan diadakan pada Jumaat ini.

“Saya hanya akan memulakan kerja bergantung kepada keadaan kesihatan. Jika saya semakin sihat, saya boleh mulakan kerja-kerja ringan, boleh hadir mesyuarat tak panjang.

“Kalau boleh saya nak hadir mesyuarat jemaah menteri. Mungkin Jumaat ini saya cuba hadir kerana sudah lama tak ke mesyuarat jemaah menteri, rasa rindu sikit.

“Selepas itu saya akan tentukan keadaan macam mana untuk saya uruskan rawatan dan kerja-kerja saya,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, di sini hari ini.

Terdahulu Muhyiddin mengangkat sumpah setia sebagai Ahli Dewan Rakyat di hadapan Speaker, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof kira-kira jam 10.05 pagi tadi.

Muhyiddin tiba di lobi bangunan Parlimen kira-kira jam 9.45 pagi dengan diiringi Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Sebelum ini, media melaporkan Muhyiddin mengambil cuti sakit sejak 12 Julai lalu bagi menjalani pembedahan berkenaan.

Ahli Parlimen Pagoh itu menjalani pembedahan di Singapura baru-baru ini bagi membuang ketumbuhan di pankreas yang dikesan pada peringkat awal.

Muhyiddin juga mengakui beliau semakin sihat dan pulih walaupun masih menjalani rawatan fisioterapi dan kemoterapi di hospital Singapura dan Putrajaya.

“Alhamdulillah, keadaan kesihatan saya makin baik walaupun dalam peringkat proses pemulihan saya dinasihat oleh doktor untuk mengambil masa untuk mengembalikan kekuatan kalau boleh makan lebih sedikit buat fisio.

“Saya perlu kukuhkan semangat nak melawan, bukan apa, alhamdulillah keadaan saya akan bertambah sihat dari sehari ke sehari,” katanya.

Katanya, kehadiran beliau ke Parlimen hari ini hanya untuk mengangkat sumpah bagi memastikan kerusi Parlimen Pagoh yang disandangnya tidak diisytiharkan kosong.

“Saya belum kembali sepenuhnya untuk memulakan tugas. Saya sudah bercakap dengan Perdana Menteri perkara penting ini, sebab itu saya berada di sini hari ini.

“Jika saya tidak berada di sini (Dewan Rakyat) selama 60 hari, kerusi saya akan dianggap kosong,” katanya. – MalaysiaGazette