MCA mahu menggunakan lambang parti berbentuk bintang dalam Pilihan Raya Kecil di Balakong dan bukannya lambang dacing BN. Parti itu bagaimanapun kekal sebagai parti komponen BN.

PETALING JAYA – Pemimpin-pemimpin MCA hanya mampu menggaru kepala apabila ditanya mengenai punca parti itu tidak menghadiri mesyuarat tertinggi Barisan Nasional (BN) pada Isnin.

Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun ketika dihubungi Sinchew Daily, mengakui bahawa beliau tidak sedar apa yang sedang berlaku.

Ketua Wanita MCA, Datuk Heng Seai Kie juga terpinga-pinga dan bertanya sama ada parti lain telah menghadiri mesyuarat itu.

Namun begitu, Seai Kie menjelaskan, kesibukan tiga pemimpin teratas MCA mungkin menyebabkan parti itu tidak dapat menghadiri mesyuarat BN.

“Hanya presiden, timbalan presiden dan setiausaha agung dapat mewakili MCA dalam mesyuarat BN.

“Pada ketika timbalan presiden iaitu Datuk Seri Wee Ka Siong sibuk di Dewan Rakyat, masing-masing presiden iaitu Datuk Seri Liow Tiong Lai dan setiausaha agung Datuk Seri Ong Ka Chuan sedang berada di luar negara,” katanya.

Menurutnya, notis mesyuarat pada saat-saat terakhir mungkin juga menyebabkan MCA tidak dapat mengaturkan salah satu daripada tiga pemimpin tertingginya menghadiri mesyuarat.

MCA sebelum ini menyatakan mahu menggunakan lambang parti berbentuk bintang dalam Pilihan Raya Kecil di Balakong dan bukannya lambang dacing BN. Parti itu bagaimanapun kekal sebagai parti komponen BN.

Penggunaan lambang bintang turut mencetuskan pertikaman lidah antara Ka Siong  yang juga Ahli Parlimen Ayer Itam dengan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming yang menyebut MCA menggunakan “lambang durian” dalam Pilihan Raya Kecil Balakong.

Ka Siong berpendapat kenyataan Kor Ming sebagai biadab memandangkan lambang bintang MCA adalah mewakili 13 negeri dan Wilayah Persekutuan dalam negara.”Sebagai orang penting dalam dewan legislatif negara, Kor Ming janganlah sampai tahap tidak berbudi kerana ia akan mengundang anggapan buruk terhadap Dewan Rakyat,” katanya seperti dipetik China Press. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast