LONDON – Aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) antara Tottenham Hotspurs bertemu Liverpool dipindahkan ke Stadium Wembley.
Perlawanan itu dijadualkan pada 15 September ini dan pertemuan dengan Cardiff City pada 6 Oktober ini sepatutnya berlangsung di stadium baharu Spurs.
Bagaimanapun, aspek keselamatan yang masih belum diselesaikan sepenuhnya di stadium baharu itu dikatakan punca perubahan tersebut dibuat.
EPL memberi pengecualian kepada aksi pertama Tottenham bertemu Fulham padsa 18 Ogos ini di Wembley untuk melengkapkan kerja pembinaan 62,000 tempat duduk baharu di White Hart Lane.
Semalam, kelab itu mengesahkan ujian terbaharu ke atas stadium tersebut mendedahkan isu sistem keselamatan yang agak kritikal dan memerlukan tindakan segera.
Pengerusi Spurs, Daniel Levy berkata: “Kami tahu ia akan mengecewakan pemegang tiket bermusim kelab ini, ahli premium dan penyokong di seluruh dunia.
“Kami sangat menghargai sokongan rakan kongsi kami NFL selama ini”.
Katanya jadual terkini berkenaan stadium baharu itu akan dikeluarkan selepas mesyuarat bersama kontraktor.
Perlawanan Spur menentang Manchester City pada 28 Oktober ini akan disahkan dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette