Sebahagian pegawai tadbir dan diplomatik berikrar pada Program Town Hall bersama Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik dengan kerjasama Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto MIRZA HASIM, 15 OGOS 2018
Sebahagian pegawai tadbir dan diplomatik berikrar pada Program Town Hall bersama Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik dengan kerjasama Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto MIRZA HASIM, 15 OGOS 2018

PUTRAJAYA – Frasa “Saya Yang Menurut Perintah” yang telah digunakan oleh kerajaan sejak sekian lama akan diubah kepada “Saya Yang Menjalankan Amanah”

Perkara itu dinyatakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjawab soalan salah seorang peserta Town Hall bersama Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Peserta tersebut bertanya sama ada kerajaan mahu mengubah frasa ‘Saya Yang Menurut Perintah’ yang selama ini diguna pakai oleh pimpinan Kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Setuju atau tidak kerajaan untuk tukarkan frasa penjawat awam daripada ‘Saya Yang Menurut Perintah’ kepada ‘Saya Yang Menjalankan Amanah’,” soal beliau semasa sesi soal jawab bersama perdana menteri hari ini yang dihadiri 3,500 peserta terdiri daripada pegawai tadbir dan diplomatik.

Dr Mahathir berkata, beliau bersetuju dengan cadangan itu bagi memastikan kakitangan awam tidak menurut perintah secara membabi buta.

“(Frasa) Saya Yang Menurut Perintah nampak bila kakitangan awam turut perintah dia suruh kita sembunyi bukti jenayah, itu kita tidak boleh terima.

“Ya kita boleh tukar frasa itu,” katanya sambil disambut tepukan gemuruh hadirin.

Frasa ‘Saya Yang Menurut Perintah’ atau SYMP adalah sinonim dengan dunia perkhidmatan awam.

Ia menuntut penjawat awam untuk sentiasa mengakui bahawa sebarang perkataan dan tindakan mereka haruslah tertakluk kepada peraturan-peraturan yang ditetapkan Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan dan apa-apa Pekeliling Perkhidmatan yang dikeluarkan oleh kerajaan dari semasa ke semasa. -MalaysiaGazette