Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yb Senator Waytha Moorthy (tiga kanan) diiringi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yb Fuziah Salleh (dua kiri) beramah mesra dengan peserta pada majlis Perjumpaan Bersama Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian di Antara Penganut Agama di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 16 OGOS 2018.

PUTRAJAYA – Cabaran-cabaran yang dihadapi penganut pelbagai agama di negara ini boleh mengganggu gugat kesejahteraan dan keselamatan negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy.

Ujarnya, penghinaan terhadap agama, kecelaruan minda, pengaruh budaya kebendaan serta pengaruh media sosial dikenalpasti cabaran kerajaan hari ini bagi memastikan keamanan terus dinikmati rakyat.

“Saya sangat berharap menerusi platform Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian di antara Penganut Agama (JKMPKA), anasir-anasir yang boleh mengganggu kestabilan dan kekukuhan hubungan antara penganut agama dapat ditangani melalui program penganjuran dan kegiatan serta cadangan-cadangan yang boleh dilakukan dan saksama dapat dimeterai pelaksanaannya.

“Melalui cara ini, saya sangat berharap agar jalinan hubungan yang sudah siap terjalin diperkukuhkan lagi demi kebaikan bersama untuk mengharmonikan rakyat yang terdiri dari pelbagai agama,” katanya dalam ucapan sempena perjumpaan bersama JKMPKA di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

Hadir sama dua Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr. Md. Farid Md. Rafik dan Fuziah Salleh.

Justeru, JKMPKA, kata Waytha Moorthy, harus menyebarkan mesej-mesej yang positif serta berupaya mendampingi rakyat dengan mesra dan suasana yang menyenangkan.

“Anggota JKMPKA diminta untuk sentiasa menjadikan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang sedia ada sebagai rujukan dalam menangani sebarang isu-isu sensitif yang boleh menggugat keselamatan negara,” katanya lagi.

JKMPKA ditubuhkan pada tahun 2010 bertujuan untuk mewujudkan, menggalak serta memantapkan iklim perhubungan yang utuh dalam kalangan penganut pelbagai agama.

Ia agar terbinanya jambatan berteraskan semangat kerjasama, saling hormat menghormati dan saling percaya mempercayai di semua peringkat kepimpinan akar umbi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast