Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail ketika menghadiri sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 16 OGOS 2018

KUALA LUMPURĀ – Sehingga Jun 2018, seramai 16,873 pengasuh yang berkhidmat di Pusat Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, daripada jumlah itu, seramai 13,700 pengasuh masih belum memenuhi syarat minimum ditetapkan.

“Ketidakpatuhan syarat itu disebabkan oleh beberapa faktor, antaranya kadar tukar ganti yang tinggi dalam kalangan pengasuh.

“Seramai 5,720 pengasuh telah lulus Kursus Asuhan dan Didikan Awal PERMATA (KAP) pada tahun 2013.

“Bagaimanapun, hanya 2,171 orang sahaja yang masih kekal di dalam industri pengasuhan kanak-kanak sehingga kini,” katanya menjawab pertanyaan lisan Datuk Dr. Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) pada sidang Parlimen hari ini.

Wan Azizah yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, bagi memastikan seramai 13,700 pengasuh terbabit mematuhi syarat, kementerian, KAP bekerjasama JKM dan Universiti Pendidikan Sultan Idris dengan bayaran rendah.

“Peraturan 14 (3) peraturan-peraturan TASKA 2012 memberi tempoh 12 bulan atau setahun kepada pengasuh untuk melengkapkan KAP dengan mengambil kadar tukar ganti tinggi dalam kalangan pengasuh.

“Kebanyakan pengasuh itu masih baharu berkecimpung dalam industri ini. Melalui Kursus KAP Dalam Talian, waktu pembelajaran fleksibel dengan yuran khas lebih murah RM500 berbanding dengan RM900,” katanya.

Katanya lagi, pihaknya akan memastikan lebih banyak agensi bertauliah dengan KAP dan memperhalusi Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak.

“Ia bagi mewajibkan semua pengasuh kanak-kanak mempunyai syarat kelayakan dalam bidang pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak termasuk pengasuh di rumah akan mengikuti kursus khas berkaitan dengan kemahiran asuhan kanak-kanak

“Kementerian komited dalam memastikan semua pengasuh kanak-kanak berkelayakan dan memberi perkhidmatan berkualiti agar keselamatan dan kebajikan kanak-kanak di TASKA sentiasa terjaga,” katanya lagi. – MalaysiaGazette