Azalina Othman said
Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said menolak usul kerajaan untuk memansuhkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Berita Tidak Benar 2018 yang dibentang untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.

Azalina menegaskan, akta yang digubal ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) itu bukan untuk menzalimi mana-mana pihak termasuk mendakwa ahli politik daripada Pakatan Harapan (PH) sejak ia dikuatkuasakan sejak 11 April lalu.

“Saya nak tanya kepada timbalan menteri, bilakah akta ini digunakan dalam pendakwaan politik? Sejak akta ini diwujudkan sampai sekarang, tiada langsung di mana kerajaan pada masa itu mendakwa orang politik.

“Soalannya sekarang di mana bukitnya bahawa undang-undang ini telah digunakan dalam keadaan yang zalim? Kalau menteri kata zalim, banyak lagi undang-undang yang boleh dikatakan zalim.

“Jadi tuan speaker jangan ‘marahkan nyamuk, bakar kelambu’. Kalau sudah menang tu menang la, buatlah yang terbaik.

“Jangan ambil kesempatan sebab ada kuasa majoriti nak lanyak saja. Tuan Speaker sebagai orang tengah kena berlaku adil,” katanya ketika membahaskan RUU Anti Berita Tidak Benar dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Mohamed Hanipa Maidin membentangkan Akta Anti Berita Tidak Benar 2018 untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat bagi memansuhkannya yang dijanjikan dalam Manifesto PH.

Azalina juga berkata, Kerajaan PH perlu mempertimbangkan cadangan itu kerana undang-undang itu diwujudkan bagi melindungi dan membantu rakyat daripada menjadi mangsa fitnah akaun palsu di media sosial.

“Sudah ada rakyat di luar sana berperang kerana berita palsu dan media sosial iaitu satu jenis senjata kita tengok boleh mewujudkan keadaan tidak tenang bagi masyarakat seluruh dunia, bukan sahaja dalam negara kita.

“Undang-undang sedia ada seperti Kanun Keseksaan, Akta Multimedia tidak boleh dan tidak mampu mengendali kes-kes media sosial yang berlaku dengan pantas khususnya akaun palsu,” katanya.

Menurut Azalina, masalah undang-undang sedia ada tidak boleh mengarahkan pakar media sosial seperti Facebook, Twitter, Google dan Yahoo untuk menurunkan berita-berita palsu dengan segera.

“Syarikat-syarikat antarabangsa ini mereka tak nak turunkan mana-mana fitnah kecuali adanya perintah mahkamah. Kalau kita guna undang-undang sedia, nak turunkan fitnah akan memakan masa lama, mungkin setahun dua tiga, ketika itu reputasi orang terlibat sudah rosak.

“Dalam akta ini, sekurang-kurangnya turunkan dulu kemudian memperbahas, memperbincang dan bawa elemen-elemen bahawa ini adalah berita palsu yang ditentukan oleh mahkamah dan hakim dan bukannya agensi kerajaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast