Sivarraajh Chandran

KUALA LUMPUR – Dakwaan hampir 300,000 kaum India tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sejak dua Pilihan Raya Umum (PRU) lalu seolah-olah tidak berasas dan lebih bermotifkan politik.

Ketua Pemuda MIC, Datuk C. Sivarraajh berkata, walaupun pihaknya gembira dengan pengumuman Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meluluskan permohonan kerakyatan bertaraf warganegara kepada 3,407 pemohon dalam kalangan kaum India berstatus pemastautin tetap berusia 60 tahun ke atas.

Namun jelas Ahli Parlimen Cameron Highlands itu, beliau masih lagi musykil dan tertanya-tanya mengapa janji manifesto kerajaan Pakatan Harapan mendakwa wujudnya beratus ribu masyarakat India tiada pengenalan diri.

Ini kerana jumlah mereka yang diberikan taraf kerakyatan hanya tiga 3,000 orang sahaja walaupun sebelum pelbagai pihak mendakwa kerajaan terdahulu, Barisan Nasional (BN), menganiayai ratusan ribu orang dengan tidak memberikan dokumen pengenalan.

“Pelbagai pihak termasuk yang kini sudah jawatan Menteri seperti Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waythamoorthy yang pernah mendakwa ada sekurang-kurangnya 300,000 kaum India tiada pengenalan diri.

“Bagaimanapun, selepas PRU-14, Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran pula kemudian menyatakan hanya kira-kira 30,000 sahaja tidak miliki pengenalan diri setakat ini.

“Jangan kita lupa, satu ketika dahulu, Naib presiden Parti Keadilan Rakyat, N. Surendran dan Timbalan Menteri Pembangunan dan Luar Bandar, R. Sivarasa pernah berhimpun di hadapan ibu pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berhubung isu taraf kerakyatan dan dokumen pengenalan diri dengan dakwaan sama.

“Tetapi kini kita dihidangkan pula dengan ‘cerita’ lain. Adakah ini bermakna apa yang telah didakwa oleh BN selama ini benar? Angka 300,000 itu sebenarnya tidak benar? Bagaimana pula dengan 30,000? Jika demikian, mengapa hanya sedikit sahaja yang diberikan taraf kewarganegaraan ketika ini. Apakah status sebenar statistik ketika ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Sivarraajh mengulas kenyataan Dr. Mahathir bahawa seramai 3,407 individu berketurunan India yang memegang status pemastautin tetap (PR) dan berusia 60 tahun ke atas akan diiktiraf sebagai warganegara Malaysia.

Jelas Dr. Mahathir, pemastautin tetap yang berusia bawah 60 tahun pula boleh mendapat taraf warganegara sekiranya mereka memenuhi syarat yang telah ditetapkan.

Tambah Sivarraajh, adalah blebih baik kerajaan lebih fokus mengenalpasti dan selesaikan isu kewarganegaraan khasnya masyarakat India yang sudah dihantui sejak sekian lama.

“Jika benar wujudnya 300,000 itu, kita mohon baki sebanyak 296,593 pemohon itu segera diberikan kewarganegaraan kerana kini anda memegang tampuk negara, jika betul dakwaan anda selama ini sila betulkan ‘silap’ kerajaan BN terdahulu.

“Ini juga bukan sekadar janji sebaliknya janji 100 hari, sila selesaikan ianya dengan kadar segera, kami juga ternanti-nanti ketika ini,” tegasnya.

Kempen MyDaftar inisiatif kerajaan BN hanya menerima 12,726 permohonan daripada masyarakat India bagi tempoh 2010 hingga 2016.

Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 7,126 permohonan diluluskan membabitkan 4,390 kes kewarganegaraan, 1,946 kes daftar lewat kelahiran serta 790 kes berkaitan kad pengenalan.

Menerusi kempen Mega MyDaftar pada 2017 pula, pihak kerajaan BN hanya menerima 2,500 permohonan masyarakat India di seluruh negara dengan 1,054 individu diberikan surat kelulusan warga negara pada tahun lepas. – MalaysiaGazette