KUALA LUMPUR – Perbahasan pemansuhan Akta Anti Berita Tidak Benar 2018 menjadi kecoh apabila Ahli Parlimen (Pasir Puteh-Pas), Datuk Dr Nik Zawawi Salleh membalas kenyataan Ahli Parlimen (Merbok-PH), Nur Azrina Surip @ Nurin Aina Abdullah dengan ucapan cuba menindas wakil rakyat wanita.
“Itulah dia orang perempuan dia berhujah insya-Allah. Bukti lain, saya ibaratkan menambahkan Akta Anti Berita Tidak Benar ini, kalau orang lelaki sama sebagaimana dia tambah isteri.
“Bukan bermakna apabila lelaki tambah isteri dia menyatakan isteri pertama, kedua, ketiga tak baik, tapi tambah keempat itu dia jadi lebih baik dalam keluarga,” kata Nik Zawawi ketika perbahasan Akta 803 pada sidang Dewan Rakyat, di Parlimen, hari ini.
Bagaimanapun kenyataan Nik Zawawi itu dilabelkan oleh Nur Azrina sebagai ucapan seksis sambil mendesak pemimpin Pas itu menarik balik kenyataan tersebut yang cuba mendiskriminasi golongan wanita.
“Sexcist remark, kami wanita semua tak sokong, tarik balik,” kata Nur Azrina.
Berang dengan tindakan itu, RSN Rayer (Jelutong-PH) turut mendesak Nik Zawawi menarik kenyataan yang menghina wakil rakyat wanita itu.
“Ini diskriminasi menghina wanita, Speaker…minta tarik balik,” katanya.
Kekecohan itu timbul selepas Nur Azrina mempertikaikan kenyataan Nik Zawawi yang mempersoalkan pendirian ahli Parlimen PKR, Amanah dan DAP yang sebelum ini giat menyerang Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum menyertai PH.
“Kalau nak melahirkan rakyat yang berani menegur pemimpin dan kerajaan, apa cerita yang dulunya sebahagian daripada pemimpin yang komen Langkawi berapi-rapi, bermacam komen.
“Mengapa hari ini senyap, adakah mereka menjilat ludah sendiri? Sebelum ini, apa yang Ahli Parlimen Ampang, Gombak dan Kota Raja tak pernah kata kepada Ahli Parlimen Langkawi waktu dia kempen sebelum pada ini.
“Kota Raja ini kita puji sebab dia lawan dua-dua, Langkawi pun dia lawan, bakal nak jadi Perdana Menteri mungkin dia nak lawan juga kerana dia Menteri Pertahanan, dia lawan belaka, dia tembak belaka,” katanya.
Terdahulu Nik Zawawi turut bertikam lidah dengan RSN Rayer kerana wakil rakyat DAP itu mempertahankan kesalahan Mahathir selepas menyertai PH.
“Dulu Langkawi UMNO, sekarang Langkawi Parti Bersatu, PH, bukan Barisan Nasional lagi, UMNO yang berkarat,” tegasnya.
Nik Zawawi berkata, dosa Mahathir ketika bersama UMNO seolah-olah dimaafkan selepas menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan menyertai PH.
“Macam itu, kalau Langkawi buat salah waktu dia duduk dalam UMNO dulu salah, jadi bila dia masuk ini (PH) dia tak salah balik.
“Dalam dunia moden, pemimpin kena berani, kalau dulunya benar, kebenaran ini tetap sampai sekarang, kalau dulunya tidak benar, ketidakbenaran itu berkekalan sampai sekarang,” kata Nik Zawawi. – MalaysiaGazette