KUALA LUMPUR – Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI) kesal dan kecewa dengan kenyataan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik melantik beberapa ahli Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan yang tidak layak menganggotai majlis itu.

Maszlee diminta menarik balik perlantikan mereka bagi mengelak warga pendidik keliru dengan niat sebenar menteri itu.

Presidennya, Prof. Datuk Ir. Dr. Wan Ramli Wan Daud mempersoalkan rasional Maszlee melantik seorang tokoh usahawan barang hiasan yang jahil tentang pendidikan, seorang suri rumah anglofilus yang berlagak sebagai pendidik tetapi penentang tegar dasar pendidikan kebangsaan.

Justeru beliau turut mendesak menteri itu menjelaskan rasional melantik Brigadier Jeneral yang menolong Menteri dalam strategi PRU14 yang hanya tahu berperang sahaja dan seorang pengusaha sekolah swasta berbahasa Inggeris dan seorang profesor ekonomi anglofilus yang menggotai Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan.

“Perlantikan mereka yang tiada kepakaran dalam pendidikan malah yang menentang dasar dan falsafah pendidikan negara dengan hala tuju pendidikan negara pasti akan mengundang kecaman hebat para pendidik yang mendokong dasar dan falsafah pendidikan negara terhadap kewarasan menteri.

“Apakah sumbangan Menteri inginkan daripada tokoh barang hiasan pewter berketurunan Tionghua ialah bagi memudahkan penerimaan sijil UEC jika ia datang dari MPPN ini,” katanya dalam kenyataan tersebut di sini.

Wan Ramli turut meminta Maszlee menjelaskan sumbangan yang boleh diharapkan daripada seorang suri rumah yang bahasa ibundanya bahasa Inggeris dan seorang penentang tegar dasar pendidikan negara terutama dasar bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di semua peringkat pendidikan.

Kecuali Menteri berkenaan ingin menggunakan MPPN untuk meneruskan ‘penginggerisan’ sistem pendidikan negara dengan mengembalikan PPSMI dan meneruskan DLP, 2 program yang tidak berkesan dan ditentang oleh rakyat dan sekolah aliran Inggeris, katanya.

“Apakah Menteri lupa tentang demonstrasi jalanan raksasa rakyat menentang PPSMI itu sehingga kerajaan BN tunduk kepada kehendak rakyat dengan memansuhkan PPSMI.

“Apakah Maszlee inginkan daripada seorang pengusaha pendidikan swasta berbahasa Inggeris yang lebih mementingkan keuntungan daripada pendidikan yang terbaik,” katanya.

Justeru beliau juga menyifatkan perlantikan seorang pegawai tentera berpangkat brigadier jeneral sebagai kroni kepada menteri berkenaan sambil mendakwa ia sebagai habuan baginya yang membantu Maszlee menggariskan strategi untuk menang PRU14.

Dakwa beliau, Maszlee turut melanggar janji PH yang berpendirian tidak mengamalkan kroniesme tidak sampai 100 hari kerajaan PH dibentuk.

“Ia termasuklah perlantikan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP yang juga ahli Dewan Perwakilan Nasional IKRAM, sebuah pertubuhan yang juga dikait rapat dengan YB Menteri,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast