Lim Guan Eng
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Usul Menteri Kewangan, Lim Guan Eng meminta Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) menyiasat semula penyelewengan dan skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diluluskan dengan sebulat suara Dewan Rakyat, hari ini.

Cadangan itu yang dibahaskan oleh bekas Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Hasan Arifin dan Tony Pua (Damansara-PH) hingga mencetuskan pertikaman lidah diluluskan sebelum mesyuarat Dewan Rakyat ditangguhkan, hari ini.

Guan Eng ketika membacakan usul tersebut berkata, langkah itu untuk mengembalikan maruah Dewan Rakyat dan segala maklumat berkaitan skandal itu didedahkan kepada umum dan bukan lagi rahsia.

“Penyiasatan semula kes ini juga bertujuan untuk mengembalikan maruah institusi-institusi negara yang sebelum ini gagal menjalankan satu penyiasatan adil, kompeten dan berwibawa serta bebas daripada campur tangan pihak berkepentingan.

“Siasatan sebelum ini gagal mengenal pasti punca-punca sebenar skandal korupsi ini dan kerugian besar yang dialami oleh seluruh Malaysia khususnya 1MDB.

“Penyiasatan itu telah gagal dan mendapatkan kembali aset-aset yang hilang dan dirompak sambil menghalang perkara sama daripada berulang di masa depan,” katanya ketika membacakan usul tersebut dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Guan Eng (Bagan-PH) berkata, pada 7 April 2016 Dewan Rakyat menerima laporan daripada PAC berkaitan 1MDB sedangkan empat negara lain mengambil tindakan dan memulangkan barang kemas.

“Laporan PAC telah menimbulkan pelbagai keraguan kelemahan dan penyalahgunaan kuasa pihak lembaga pengarah dan pengurusan tertinggi syarikat.

“Malah pihak PAC telah mengesyorkan supaya bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Sharul Helmi dan pihak-pihak berkaitan disiasat pihak berkuasa mengenai penemuan PAC,” katanya.

Sehubungan itu, siasatan semula skandal kewangan 1MDB itu bakal dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang bakal ditubuhkan bagi memastikan dana dan aset awam dapat dikembalikan kepada rakyat.

“Cadangan penyiasatan ini adalah satu peluang untuk membersihkan nama Malaysia yang dahulunya dikenali sebagai kleptokrasi.

“Inilah satu peluang untuk membebaskan Malaysia daripada kancah rasuah dengan menegakkan kedaulatan undang-undang di Malaysia dan mengembalikan maruah negara di mata dunia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette