KUALA LUMPUR – Hasil kajian Consent Malaysia mendapati rakyat di negara ini menghadapi kehidupan yang sukar selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah Putrajaya.
Pengarah Kajian NGO terbabit, Mohamed Hata Wahari berkata, ia adalah rumusan kajian yang dilakukan beliau terhadap kesan pemerintahan 100 hari PH bagi mengumpul maklumat berhubung keberkesanan pemerintahan yang diketuai Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Sebagai penyokong PH saya menghadapi kesukaran untuk meneruskan hidup saya setiap hari (dalam 100 hari kajian). Mana saya nak cari modal setiap hari untuk berniaga pagi esok.
“Kalau saya tidak mendapat pendapatan pada hari ini, bagaimana saya nak berniaga esok hari?” soalnya ketika membentangkan kajian sara hidup dan kelangsungan hidup 100 hari di bawah Pakatan Harapan bertempat di Hotel Maluri hari ini.
Hadir sama Pengarah Urusan Consent Malaysia, Amran Ahmad.
Ahli seumur hidup DAP itu telah membuat eksperimen sebagai penjual nasi lemak berkata, perniagaan yang dijalankan selama tiga bulan itu sukar memandangkan kuasa beli yang rendah di kawasan yang dipilih beliau.
Hata yang memilih kawasan seorang Timbalan Menteri PH yang diwakili Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, beliau sukar untuk berniaga di kawasan itu untuk meneruskan perniagaan sekiranya tiada bantuan daripada kerajaan.
Ini kerana keupayaan untuk meraih untung tidak setara dengan modal yang dikeluarkan, dakwanya.
“Kita tanya kepada mereka, kenapa pilih nasi lemak telur berbanding nasi lemak ayam? Mereka (pembeli) kata misi mereka hanya satu, untuk kenyang dan dapat tenaga untuk teruskan hidup.
“Untuk hidup dalam kerajaan PH dalam tempoh 100 hari amat sukar. Untuk mendapatkan untung bersih RM20 sehari, saya terpaksa bekerja daripada pukul 6 pagi hingga 12 tengah malam.
Menggunakan modal RM100 untuk memulakan perniagaan, beliau berkata, sukar untuk peniaga mendapatkan keuntungan disebabkan kenaikan harga barang yang menjadi beban kepada peniaga kecil-kecilan.
“Kami hanya mampu menjual 30 bungkus nasi lemak kerana rakyat di kawasan itu tidak mampu untuk membeli nasi lemak. Pelanggan saya hanya mampu membeli nasi lemak telur berharga RM3 untuk makan malam.
“Bayangkan mereka bekerja dari 10 pagi hingga 10 malam,” jelas bekas Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) dan wartawan Utusan Malaysia.
Oleh yang demikan, beliau berkata, PH tidak mempunyai wawasan untuk rakyat terutama masyarakat di bawah B40 yang menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebelum ini.
“Apabila kita turun tanya kepada peniaga-peniaga kecil mereka amat kecewa apabila BR1M tidak diteruskan. Kata mereka, RM800 itu adalah modal buat mereka selama tiga bulan,” dakwanya lagi. -MalaysiaGazette