LONDON – McLaren mengesahkan Carlos Sainz akan menyertai pasukan itu pada tahun depan bagi menggantikan Fernando Alonso.
Alonso mengumumkan persaraannya dari dunia F1 dan McLaren bertindak pantas mengikat khidmat Sainz.
Difahamkan Sainz menandatangani kontrak untuk beberapa tahun akan datang.
Sainz dipinjamkan ke Renault dari Red Bull bagi musim 2018.
Namun dia dilepaskan selepas Renault mengikat Daniel Ricciardo sebagai rakan Nico Hulkenberg.
“Kami sangat teruja selepas Sainz menyertai pasukan kami (McLaren).
“Kami menilai pelumba itu untuk tempoh tertentu dan hasilnya mendapati dia sebagai pemandu berpotensi generasi akan datang.
“Sainz membawa bersama kemahiran dan pengalaman F1,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zak Brown.
Tambahnya, walaupun dia berusia 23 tahun namun pemandu itu melangkah ke tahun kelima.
Sementara itu, Sainz berkata: “Saya teruja akhirnya mengesahkan penyertaan bersama pasukan Mclaren bermula musim 2019.
“Inilah peluang yang saya idamkan selama ini dan ia merupakan fasa baharu dalam kehidupan saya,” katanya. – MalaysiaGazette