KUALA LUMPUR – Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), syarikat unit amanah Permodalan Nasional Berhad (PNB), menawarkan potongan harga 45 peratus untuk pendaftaran Hibah Amanah dan Pengisytiharan Amanah bagi tempoh 1 Ogos
hingga 31 Oktober 2018.

Sepanjang tempoh promosi, pelabur hanya perlu membayar yuran pendaftaran RM100 berbanding harga biasa iaitu RM180 untuk satu kontrak Hibah Amanah (pelabur Islam) atau Pengisytiharan Amanah (pelabur bukan Islam).

Dalam setiap kontrak, pelabur boleh menamakan sehingga 10 penerima untuk pelaburan mereka dalam unit amanah ASNB.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin berkata, promosi ini bertujuan menggalakkan pelabur ASNB mengambil langkah proaktif menguruskan harta berbentuk unit amanah ASNB ketika mereka masih hidup supaya
kelak ia dapat dituntut dengan mudah oleh waris.

“Berdasarkan pengalaman kami, pelaburan dalam unit amanah ASNB yang merupakan pelaburan tunai biasanya diperlukan oleh waris untuk menampung keperluan sara hidup sementara menunggu harta lain yang ditinggalkan si mati dapat
diagihkan.

“Dengan adanya Hibah Amanah atau Pengisytiharan Amanah, pelaburan dalam unit amanah ASNB boleh dituntut terlebih dahulu dan waris hanya perlu menunggu sekurang-kurangnya 30 hari untuk menerima unit amanah yang ditinggalkan,” kata Mohammad.

Berbeza dengan konsep penama, yang mana penama hanyalah wasi untuk wang yang ditinggalkan, Hibah Amanah dan Pengisytiharan Amanah menjadikan waris penerima mutlak untuk wang yang dinamakan kepadanya.

Menurut undang-­undang Malaysia, unit amanah dikategorikan sebagai harta persendirian, proses tuntutan unit amanah ASNB adalah tertakluk kepada undang-undang probet dan pentadbiran.

“Justeru tanpa Hibah Amanah yang ditawarkan ASNB, proses tuntutan oleh waris pelabur Islam adalah tertakluk kepada undang-undang probet dan pentadbiran dan ketetapan mendapatkan probet tetap berkuat kuasa walaupun pelabur ada
meninggalkan wasiat,” katanya.

Mohammad Hussin – Ketua Pegawai Eksekutif & Pengarah Eksekutif ASNB
Mohammad Hussin

Menurut Mohammad, sekiranya pelabur melanggan Hibah Amanah atau Pengisytiharan Amanah, penerima yang telah ditetapkan tidak perlu mendapatkan surat kuasa atau
probet.

“Untuk membuat tuntutan, waris hanya perlu ke mana-mana Cawangan ASNB,” katanya.

Apa yang istimewa mengenai Hibah Amanah ialah pelabur boleh memilih sesiapa sahaja yang dirasakan layak sebagai penerima termasuk anak angkat.

Untuk mendaftarkan nama di bawah Hibah Amanah atau Pengisytiharan Amanah, pelabur boleh mendapatkan borang pendaftaran di semua 30 Cawangan ASNB di
seluruh negara atau muat turun di laman web ASNB www.asnb.com.my.

Untuk memudahkan pelabur, semua Cawangan ASNB kini dibuka pada Sabtu ke-3 setiap bulan, termasuklah sepanjang tempoh kempen ini dijalankan iaitu pada 18 Ogos, 15 September dan 20 Oktober 2018. – MalaysiaGazette