KUALA LUMPUR – Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menafikan bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman akan pulang ke tanah air hari ini seperti yang digempar-gempurkan dalam aplikasi WhatsApp sejak semalam.
Sambil menyifatkan berita yang tular itu belum terbukti benar dan berasas, Ketua Polis Negara itu bagaimanapun mengesahkan Musa akan pulang dalam masa terdekat ini.
Beliau tidak dapat memperincikan bila pemimpin itu akan balik ke Malaysia.
“Itu viral (Musa Aman balik hari ini). Kita jangkakan dalam masa terdekat (pulang).
“Kita menjangkakan dia akan pulang secara sukarela sendiri dan membantu kita melengkapkan proses siasatan terhadapnya,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Gotong Royong Mega 1.0 2018 Peringkat PDRM Memerangi Aedes di ibu pejabat polis.
Tambah Mohamad Fuzi, beliau sendiri tidak mempunyai maklumat terperinci mengenai Musa.
Kenyataan Whtsapp yang viral sejak semalam mendakwa Musa akan dibawa pulang ke Malaysia tetapi mendarat di Singapura terlebih dahulu sebelum dibawa sama ada menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah (LTASAAS) atau Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini. – MalaysiaGazette