KUALA LUMPUR – Sikap ‘pilih bulu’ dan ‘double standard’ yang ditonjolkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) khususnya Menteri Pendidikan, Maszlee Malik yang dilihat seolah-olah hanya memperjuangkan kepentingan sekolah Cina bukan sahaja membimbangkan malah menjadi tanda tanya.
Menurut Ketua Pemuda MIC, Datuk C. Sivarraajh, sejak kemenangan besar kerajaan PH, lebih banyak usaha serta penambahbaikan selain daripada perancangan masa depan untuk sekolah Cina berbanding sekolah Tamil yang sebenarnya memerlukan lebih banyak perhatian.
Jelas Sivarraajh yang juga merupakan Ahli Parlimen Cameron Highlands, beliau sebenarnya tidak menuduh dengan sewenang-wenangnya sebaliknya melalui ‘gerak geri’ oleh beberapa pemimpin termasuk Menteri Pendidikan sebenarnya amat mengecewakan terutamanya awal pentadbrian 100 hari ini.
“Mengapa begitu? Untuk sekolah Cina, sehingga kini beberapa kenyataan telah dibuat termasuk projek membina sekolah baharu di Johor, Selangor dan Pulau Pinang yang juga telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri.
“Pembinaan empat sekolah baharu akan diteruskan dengan mengenalpasti empat lagi kawasan mengikut keperluan mendesak. KPM juga akan mendapatkan peruntukan sebanyak RM20 juta tahun ini bagi tujuan pembinaan serta perpindahan.
“Tidak lupa juga denga peruntukan RM50 juta dalam Bajet 2018 sebagai Tabung Khas yang akan disalurkan kepada Sekolah Bantuan Kerajaan mengikut keperluan masing-masing.
“Untuk sekolah Tamil pula, tanggungjawab itu telah diserahkan ‘bulat-bulat’ kepada Menteri dan Timbalan Menteri India. Mengapa begini? Ketika BN mentadbir dahulu, kerajaan telah memperuntukkan dana hampir RM1 bilion bagi membina, naik taraf dan menyelenggara 524 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di seluruh negara.
“Adakah inisiatif serta dana itu akan dikekalkan serta disambung? Mengapa KPM tidak pernah sentuh semua ini? Ini juga penting terutamanya dalam memastikan taraf pendidikan kaum ini sentiasa terbela,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Tambah Sivaarrajh, sehingga PRU-14 lepas, sebanyak 80 hingga 90 peratus daripada jumlah peruntukan RM1.3 bilion sudah digunakan untuk proses penambahbaikan dan penyelenggaraan infrastruktur.
Beliau berkata, kerajaan sentiasa menunaikan janji menyalurkan peruntukan kepada semua sekolah, termasuk SJKT kerajaan bagi memastikan tiada sekolah yang tercicir dan dibantu secara saksama.
“Dengan semangat Malaysia Baharu ini, saya mohon kepada kerajaan PH supaya tidak bertindak berasaskan ‘kaum’ sebaliknya semua perlu diberi layanan sama rata. Jangan bersikap pilih bulu dan hanya mahu bercakap tentang sekolah Cina sahaja,” ujarnya.
Dalam pada itu, Sivarrajh meluahkan rasa kecewa dengan cara pentadbiran kerajaan PH yang dlihat lebih banyak memberikan alasan serta masih lagi berterusan menuding jari dengan mentaliti ‘pembangkang’ walaupun kini sudah mula mentadbir negara.
“Saya sebenarnya tidak faham dan inginkan penjelasan, saya bukan cuba bersikap ‘rasis’ sebaliknya cuba memahami yang apa sedang cuba dilakukan oleh kerajaan baru ini. Jangan selepas ini ‘cop’ saya cuba pecah belahkan kaum pula hanya untuk alih perhatian.
“Sebelum PRU yang terdahulu, rata-rata pemikiran masyarakat India sentiasa disaji dengan maklumat-maklumat kononnya kebajikan serta nasib tidak terbela di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu, Barisan Nasional (BN) dan banyak yang perlu dilakukan.
“Saya beri contoh, selama bertahun-tahun kita diberitahu oleh pembangkang yang kini sudah mentadbir negara kononnya lebih 300,000 kaum India di negara tidak mempunyai pengenalan diri. Tapi akhirnya, hanya meluluskan 3,407 permohonan kerakyatan. Bakinya?
“Kemudian beberapa pemimpin yang sebelum ini begitu ‘gah’ bercakap tentang dakwaan kononnya nasib masyarakat India tidak terbela, isu dokumen tidak selesai sehingga hampir ratus ribu masyarakat India tiada pengenalan diri secara tiba-tiba membuat pusingan ‘U’ dengan mengurangkan angka 300,000 kepada 30,000 dan 3,000.
“Kami bukan tuntut ‘keajaiban’ dalam masa singkat tetapi apa yang anda janjikan, apa yang telah menjadi inisiatif kerajaan terdahulu bagi kepentingan masyarakat India di negara perlu diberi perhatian. Jangan setakat lepas tangan dengan beri kenyataan demi agenda politik semata-mata,” katanya.
Katanya, sudah tiba masa Kerajaan Persekutuan membetulkan kepincangan seperti yang didakwa.
“Sebagai kerajaan terdahulu, kami juga sedar dan tahu apakah dasar, inisiatif serta jasa yang telah ditaburkan oleh kepimpinan kami sebelum ini dalam membela nasib masyarakat India secara khusus, jangan perkecilkan itu,” tegasnya. – Malaysia Gazette