MADRID – Pelumba Formula Satu (F1), Fernando Alonso menolak tawaran menyertai pasukan Red Bull sebelum mengumumkan persaraan dari dunia perlumbaan sukan berprestij itu.
Alonso mendedahkan perkara itu dalam satu temubual bersama SkySports baru baru ini.
Katanya, tawaran lumayan menyertai Red Bull hadir kepadanya sebelum mengambil keputusan untuk bersara.
Pelumba warga Sepanyol itu berkata, dia menolak tawaran itu selepas Daniel Ricciardo menyertai Renault.
“Saya telah menerima tawaran lumayan daripada salah satu daripada tiga pasukan terbaik F1 tahun ini tetapi saya menolak.
“Saya sebenarnya tidak ada masalah menyertai pengembaraan F1 ini.
“Tetapi buat masa sekarang F1 tidak memberi cabaran sebenar yang saya harapkan,” katanya.
Ditanya sama ada pasukan yang dimaksudkan beliau kononnya menawarkan tempat Ricciardo ialah Red Bull, Alonso mengesahkannya dengan jawapan ‘Ya’.
Red Bull akan disokong enjin Honda bermula 2019.
Ia dilihat antara faktor yang mempengaruhi keputusan Alonso menolak tawaran Red Bull.
Bagaimanapun Red Bull dalam perkembangan lain menafikan berita kononnya pasukan itu mengemukakan tawaran kepada Alonso. – MalaysiaGazette