KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan 1Malaysia Development Bhd. (1MDB), Global Investment Ltd., Energy Holdings Ltd. dan Kerajaan Malaysia untuk menjual kapal layar mewah, Equanimity.
Menurut Ong Chee Kwan dari Christopher & Lee Ong yang mewakili Kerajaan Malaysia, tiada pihak yang mewakili pemilik kapal tersebut hadir semasa prosiding yang berlangsung hari ini.
Prosiding berlangsung di Mahkamah Admiraliti di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Khadijah Idris.
“Mahkamah mempunyai hak untuk mengarahkan kapal tersebut dijual dan hasil penjualannya diserahkan kepada mahkamah.
“Mana-mana pihak yang berminat boleh membuat tuntutan,” katanya semasa sidang media selepas prosiding berakhir di sini.
Turut sama Jeremy M. Joseph dari Joseph & Partners yang mewakili 1MDB.
Menurut Chee Kwan ketidakhadiran defendan tidak menjejaskan prosiding.
Katanya, notis mengenai prosiding tersebut telah diserahkan kepada pemilik kapal Equanimity dari Cayman Islands.
Malah pemilik Equanimity sebenarnya boleh membuat tuntutan 14 hari selepas ianya tiba ke negara ini dan tarikh tersebut tamat pada 20 Ogos lalu.
Tambah Chee Kwan, kerajaan terpaksa mempercepatkan penjualan kapal yang dikatakan mempunyai kaitan dengan 1MDB itu kerana kos penyelenggaraan yang sangat tinggi dan dalam masa yang sama kelewatan mendapatkan pemilik baharu akan menyebabkan kapal tersebut mengalami susut nilai.
Buat masa ini, kos penyelenggaraan ditanggung oleh kerajaan Malaysia dan hasil penjualan kapal tersebut sebahagiannya akan digunakan untuk membayar semula kos-kos yang telah dikeluarkan oleh kerajaan.
Mengulas lanjut, penjualan kapal mewah bernilai AS $250 juta itu akan diselesaikan dalam tempoh dua atau tiga bulan lagi menerusi proses tender terbuka.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan anggaran harga jualan kapal berkenaan.-MalaysiaGazette
Sita Equaminity tak sah, kata peguam Jho Low
1MDB mohon perintah mahkamah percepatkan jualan kapal Equanimity
Equanimity akan dijual dalam tempoh tiga bulan