KUALA LUMPUR – Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilaporkan mula perlahan setakat 6.30 petang ini, berikutan orang ramai mula pulang ke ibu negara selepas cuti sekolah dan sambutan Hari Raya Aidiladha.
Menurut jurucakap PLUS Malaysia Berhad, aliran trafik di utara dilaporkan perlahan dari Permatang Pauh menuju ke Perai dan Juru ke Bukit Tambun.
“Aliran trafik juga perlahan di kedua-dua arah Bandar Baharu ke Alor Pongsu berikutan terdapat kemalangan melibatkan dua lori di Km177 arah utara. Kerja mengalihkan kenderaan sedang dilakukan di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata aliran trafik turut bergerak perlahan dari Sungai Perak menuju ke Terowong Menora dan Changkat Jering ke Kuala Kangsar susulan terdapat lori rosak di Km230.9 arah selatan yang menyebabkan lorong kiri terhalang.
“Kenderaan turut bergerak perlahan dari Tapah ke kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tapah dan Sungkai ke Slim River.
“Di selatan, aliran trafik perlahan dari Pedas-Linggi menuju ke Senawang, Machap ke Simpang Renggam dan sebelum Sedenak ke Kulai,” katanya.
Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) ketika dihubungi Bernama berkata aliran trafik perlahan dari Bentong ke Bukit Tinggi dan sebelum Plaza Tol Gombak menuju ke arah ibu negara.
“Aliran trafik di laluan lain termasuk di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan LPT 2 di kedua-dua arah masih lancar setakat ini,” katanya.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik, atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik. – MalaysiaGazette