JAKARTA – Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David menepati ramalan apabila menyumbangkan pingat emas kedua bagi kontinjen Malaysia pada Sukan Asia 2018, di sini sebentar tadi.
Pilihan utama itu mengungguli acara individu wanita sekali gus mencipta sejarah kerana mengutip emas kelimanya di sukan kedua terbesar dunia itu.
Atlet kelahiran Pulau Pinang itu memenangi pingat emas sebanyak empat kali iaitu pada 1998, 2006, 2010 dan 2014.
Lebih manis, kejayaan wanita itu kerana dia menyambut hari jadinya ke-35 pada hari ini.
Dia hanya muncul naib juara selepas kalah kepada Rebecca Chiu daripada Hong Kong dalam edisi 2002 di Busan, Korea Selatan.
Sementara itu, dalam aksi final, Nicol menumpaskan pemain remaja negara S. Sivansangari dalam permainan lima set yang sengit dengan catatan 11-13, 11-9, 5-11, 11-6 dan 11-8 di Arena Skuasy Kompleks Sukan Gelora Bung. – MalaysiaGazette