PETALING JAYA – Calon Pakatan Harapan (PH), Halimey Abu Bakar akan mengambil pendekatan sama dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa “Anak Melayu anak kita, anak Cina anak kita, anak India anak kita”, jika diberi mandat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, 8 September ini.
Katanya, beliau tidak akan membenarkan dirinya menjadi pemimpin kepada hanya satu-satu kaum sahaja, malah akan menjadi pemimpin untuk semua, untuk bangsa Melayu, Cina dan India.
Menurut beliau, dasar perjuangan PKR dan PH adalah untuk menjaga kebajikan semua kaum, dan ini dapat dilihat menerusi barisan kepimpinan parti dan barisan Kabinet yang ditubuhkan kerajaan PH baru-baru ini.
“Demikian jujurnya pengakuan seorang pemimppin meluahkan manifestasi kasih sayangnya kepada semua rakyat di negara ini, tanpa mengira kaum, budaya dan agama.
“Keharmonian hidup dalam masyarakat yang bersifat majmuk khususnya di kawasan DUN Seri Setia tidak boleh dibiarkan tergugat oleh sikap rasis mana-mana pihak,” katanya pada sidang media harian di Bilik Gerakan Utama, Kelana Jaya, dekat sini, hari ini.
Beliau mengajak masyarakat setempat bersama dengannya untuk menolak sebarang percubaan mana-mana pihak yang cuba memainkan isu bangsa dan agama pada kempen PRK kali ini demi meraihkan keuntungan politik yang sempit dan tidak bertanggungjawab.
Halimey menegaskan, beliau tiada kompromi kepada mana-mana pihak yang cuba menyalakan api kebencian dan rasa curiga di kalangan mereka.
“Kita sepatutnya harus bangga dengan kepelbagaian bangsa dan agama yang ada di sekeliling kita kerana sekurang-kurangnya dapat mengenali adat dan budaya pelbagai kaum, sekali gus mendidik diri kita untuk saling hormat menghormati.
“Kepelbagaiam kaum dan agama ini juga antara aset penting yang selama ini menjadi asas kejayaan dan pembangunan di negara ini, termasuk Selangor dan di DUN Seri Setia,” katanya.
Ditanya mengenai dasar yang diperkenalkan Anwar itu, katanya, kerajaan Selangor yang diterajui PH telah lama mengamalkan dasar “Anak Melayu anak kita, anak Cina anak kita, anak India anak kita”, iaitu sejak mengambil alih pentadbiran negeri dari kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2008.
Buktinya, kata beliau, pelaksanaan program yang diperkenalkan kerajaan negeri seperti Inisiatif Peduli Rakyat (IPR), yang sehingga kini telah memperuntukan lebih RM1.8 bilion untuk kebajikan rakyatnya.
Beliau juga menjelaskan, tiada kuota melibatkan kaum dikenakan sebagai syarat untuk memohon bantuan program IPR seperti Kasih Ibu Smart Selangor (KISS), Skm Mesra Emas, Skim Peduli Sihat dan sebagainya.
“Yang pasti, setiap permohonan akan dilayan sama rata, adil dan saksama. Kelulusan akan diberi kepada mereka tanpa mengira sama ada mereka Melayu, Cina ataupun India,” katanya.
Beliau berjanji akan akur dan mematuhi pelaksanaan dasar yang sama di DUN Seri Setia ini, iaitu akan membantu dan memikul tanggungjawab menjaga kebajikan masyarakatnya tanpa memilih warna kulit atau agama yang mereka anuti. – MalaysiaGazette