PETALING JAYA – Datuk Seri Ismail Bakar yang dilantik sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan pada Jun lalu dikhabar akan dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) sekali gus meneraju seluruh jentera penjawat awam.
Nanyang Siang Pau melaporkan, KSN sedia ada, Tan Sri Ali Hamsa akan meninggalkan jawatan itu selepas kontraknya tamat pada Rabu.
Ali dilantik sebagai KSN pada 2012 semasa pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak.
Hubungannya dengan Najib yang dikatakan rapat telah menjadi buah mulut dan ada yang beranggapan beliau tidak sesuai dikekalkan sebagai KSN.
Ismail pula dilantik sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan pada 14 Jun untuk menggantikan Tan Sri Irwan Serigar Abdullah.
Ismail yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Malaya serta sarjana dan ijazah doktor falsafah dari United Kingdom pernah menjadi Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. – MalaysiaGazette